Jumaat, 8 Oktober 2021 | 5:15pm

Rentas negeri serentak di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Kebenaran merentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi berkuat kuasa serentak di seluruh negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, kebenaran serentak itu berikutan kebanyakan negeri dijangka mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa 80 peratus, apabila purata vaksinasi individu berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara mencapai 90 peratus.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bersabar sementara menunggu kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus dan akan mengumumkan kebenaran rentas negeri dalam tempoh terdekat.

"(Rentas negeri) serentak seluruh negara. Walaupun janji peringkat awal 80 peratus (kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa), tapi program vaksinasi di negeri masih di peringkat rendah iaitu sekitar 60, 70 peratus.

"Kalau kita buka seluruh negara (ketika kadar vaksinasi lengkap 80 peratus), mungkin akan berikan kesan yang tak baik kepada negeri yang kurang dari segi peratusannya.

"Namun jika (purata vaksinasi seluruh negara negara) 90 peratus, kita jangka purata di negeri sudah pun melebihi 80 peratus," katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mekanisme kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan kerajaan, dan sama ada kebenaran itu akan membabitkan semua negeri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberi jaminan larangan rentas negeri di seluruh negara yang berkuat kuasa sejak 10 Mei lalu, akan berakhir dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Kita tunggulah, tapi dah tak lama dah. Saya yakin tak lama. Kita akan umumkan dalam waktu terdekat.

"Sehari, dua hari, tiga hari ke, tak tahulah. Tunggulah, tapi tak lama dah," katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Larangan rentas negeri seluruh negara sejak lebih empat bulan lalu semakin menghampiri penghujungnya apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencecah 89.1 peratus setakat tengah malam tadi, iaitu 0.9 peratus sebelum aktiviti itu dibenarkan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan kebenaran rentas negeri tidak akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) baharu, sebaliknya mengguna pakai SOP sedia ada.

Trafik lancar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya, Pulau Pinang, menjelang kebenaran pergerakan rentas negeri dalam tempoh beberapa hari lagi. - NSTP/Danial Saad
Trafik lancar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya, Pulau Pinang, menjelang kebenaran pergerakan rentas negeri dalam tempoh beberapa hari lagi. - NSTP/Danial Saad
Kebenaran merentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi berkuat kuasa serentak di seluruh negara. - Foto hiasan
Kebenaran merentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi berkuat kuasa serentak di seluruh negara. - Foto hiasan
Berita Harian X