Selasa, 5 Oktober 2021 | 7:53pm
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil. - NSTP/Nik Hariff Hassan
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil. - NSTP/Nik Hariff Hassan

'Isytihar darurat di Melaka, buat MoU'

KUALA LUMPUR: Pembentukan badan seperti Majlis Gerakan Negeri menguruskan pentadbiran kerajaan negeri Melaka adalah pilihan lebih baik untuk mengelak Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, berkata badan itu mesti dianggotai wakil semua parti politik manakala satu memorandum persefahaman (MoU) perlu ditandatangani bagi mengikat komitmen.

Untuk merealisasikan penubuhan itu, katanya, pengisytiharan darurat perlu dibuat terlebih dahulu.

"Satu jalan keluar yang boleh diusahakan ialah MoU antara semua pihak di Melaka merangkumi parti kerajaan dan pembangkang. Bentuk badan seperti Majlis Gerakan Negeri tetapi darurat perlu diisytihar.

"Majlis Gerakan Negeri yang dianggotai semua parti politik itu akan berkhidmat antara sembilan hingga 10 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada masa sesuai," katanya kepada BH, hari ini.

DUN Melaka bubar berkuat kuasa semalam, selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, hilang majoriti sokongan berikutan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Fahmi menyifatkan pelaksanaan PRN Melaka dalam masa 60 hari akan datang tidak sesuai kerana berisiko meledakkan semula jangkitan kes COVID-19 yang semakin berkurangan.

Katanya, kemelut di Melaka perlu diurus secara matang bagi mengelak rakyat menjadi mangsa.

"Isu asas di sini ialah masalah antara ahli politik UMNO tetapi seluruh Melaka diheret sama.

"Keadaan ini menggusarkan, apatah lagi dalam keadaan COVID-19 yang masih ada walaupun kita bergerak ke fasa endemik.

"Kalau buat juga PRN di Melaka, apa yang berlaku di Sabah boleh berulang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya, berkata keputusan empat ADUN yang menarik sokongan daripada Ketua Menteri Melaka adalah percaturan politik kuasa dan parti antara UMNO-Perikatan Nasional (PN).

Walaupun tindakan itu sah mengikut lunas undang-undang, katanya, ia tidak menggambarkan hormat kepada mandat dan kuasa rakyat yang diterjemahkan pada PRU-14.

"Sebaliknya, ia mengabaikan kebajikan rakyat yang banyak berkorban untuk memastikan Malaysia pulih. Perkembangan ini sangat mendukacitakan.

"Tindakan mengutamakan kedudukan politik serta ketaksuban terhadap kuasa secara terang-terangan harus ditolak rakyat," katanya.

Berita Harian X