Sabtu, 2 Oktober 2021 | 2:17pm
 Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Tan Sri Shahrir Abdul Samad

'Adakan PRN atau isytihar darurat di Melaka'

KUALA LUMPUR : Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus menamatkan kemelut politik di negeri itu.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, berkata jika PRN tidak dapat dibuat, darurat boleh diisytiharkan seperti yang berlaku di Sarawak.

Beliau turut menyifatkan kemelut yang berlaku di Melaka sebagai kerja pihak yang kalah pada peringkat Pusat, namun hendak meraih kemenangan di Melaka.

"Kali ini yang kalah di Pusat, hendak menang pula di Melaka. Bagi saya, baik bubar DUN Melaka dan adakan PRN ikut prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jika tak boleh, isytihar darurat macam di Sarawak.

"PRN untuk Sarawak tidak seperti PRN untuk Melaka, jadi, bagus kalau diadakan PRN Melaka," katanya dalam hantaran Facebook.

Politik Melaka dipercayai bergolak apabila sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini mendukung kerajaan, dikatakan bakal mengalih sokongan masing-masing kepada pembangkang.

Spekulasi mengenai perkara itu bertiup kencang sejak malam kelmarin selepas empat nama dikatakan bakal beralih arah menyokong Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam tempoh terdekat.

Antara nama ADUN yang dikaitkan dengan perkembangan terbaru itu termasuk bekas Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Bagaimanapun, Norhizam yang juga ADUN Bebas menafikan khabar angin berkenaan dan mendakwa tiada sebarang perbincangan mengenainya dibuat, malah setakat ini, beliau tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana parti pembangkang.

Setakat ini, tiga lagi ADUN yang disebut-sebut bakal beralih arah belum membuat sebarang kenyataan.

Pagi tadi, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata tiada keperluan untuk beliau berjumpa empat ADUN berkenaan, sebaliknya meminta pihak yang berminat menjadi Ketua Menteri tampil dan berjumpa sendiri dengan kepemimpinan tertinggi.

Berita Harian X