Sabtu, 2 Oktober 2021 | 12:41pm

Buka sekolah disokong data dan kajian, bukan keputusan suka-suka

SESI persekolahan kembali dilaksanakan bersemuka secara berperingkat mulai esok dan lusa. Di sebalik pelbagai persediaan, masih ada mempertikai kewajaran sekolah dibuka semula mengambil kira kedudukan semasa pandemik dalam negara.

Wartawan BH, Adha Ghazali, mendapatkan penjelasan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, mengenai rasional tindakan ini serta isu lain berkaitan sektor pendidikan negara khususnya dalam konteks cabaran pandemik.

Soalan (S): Sejauh mana persediaan Kementerian Pendidikan (KPM) dari segi prosedur operasi standard (SOP) untuk pembukaan sekolah?

Jawapan (J): Kami di kementerian turun ke bawah melihat persediaan sekolah. Secara umum, sekolah bersedia menerima kemasukan murid esok untuk Kumpulan A (Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu) dan Isnin untuk Kumpulan B (Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya).

Namun beberapa perkara perlu diberi perhatian lebih khusus oleh pihak sekolah dan ini sudah pun kita maklumkan kepada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), supaya memastikan pengudaraan dapat berlaku secara optimum. Itu kita tekankan sebab SOP sedia ada memang kita teruskan, namun penekanan utama seperti disebut WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) tentang pengudaraan. Kita beri tumpuan khusus sebagai suatu penambahbaikan supaya apabila sesi persekolahan bermula, pengudaraan semua kelas dalam keadaan optimum.

Kalau kita lihat sesetengah kelas ada meletakkan poster pada tingkap, atau papan putih. Kita mohon ia dipindahkan supaya dapat berlaku pengudaraan yang baik. Begitu juga langsir. Ia satu pendekatan yang kita lihat perlu ditambah baik segera. Insya-Allah, JPN dan PPD bersama pengetua dan guru besar akan memastikan perkara ini diberi keutamaan.

S: Bagaimana dengan kemasukan pelajar sekolah asrama?

J: Kita ada SOP baharu kemasukan murid ke asrama khususnya asrama penuh. Kita nak wujudkan gelembung selamat untuk membolehkan mereka berada bersama dalam persekitaran asrama dan bersekolah dalam keadaan selamat.

Untuk itu, kita minta mereka lakukan ujian COVID-19 menggunakan kit ujian saliva (air liur) tiga kali iaitu pada waktu pendaftaran, pada hari keenam dan hari ke-14. Mengapa? Kita harap jika ada kes (dikesan) dalam kalangan ini, maka kita dapat asingkan mereka lebih awal.

Selain memastikan murid yang masuk selamat, cabaran kita juga membabitkan kakitangan lain - guru, kakitangan pembersihan dan sebagainya - semua dalam sekolah asrama penuh ini mesti divaksinkan. Kalau ada guru tak ingin divaksin, kita akan pindah keluar mereka, kerana nak pastikan asrama itu wujud gelembung selamat.

Bagi asrama sekolah harian, akan ada juga ujian saliva iaitu pada hari kemasukan. Keadaan sedikit berbeza sebab mereka bercampur murid lain di luar. Itu antara diberi penekanan khusus dalam konteks pelaksanaan garis panduan sewaktu di sekolah.

S: Apa komen mengenai persepsi KPM tak realistik apabila bertegas membuka kembali sekolah?

J: Kita memantau rapat dan teliti data serta maklumat, selain duduk berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jadi, sebarang keputusan dibuat bukan bersifat suka-suka. Kita tengok kepada data dan apabila kita rasakan sesuai, maka kita duduk bincang dan adakan sesi libat urus yang banyak membabitkan ibu bapa, guru, pengetua, guru besar dan pakar kesihatan, serta psikologi kanak-kanak, begitu juga persatuan perguruan contohnya NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan).

Benar kes waktu ini tinggi, namun kita kena faham dalam konteks yang betul. Sewaktu KPM buka sekolah pada Jun 2020, kes masa itu satu, dua atau tiga digit, namun pada waktu itu tak ada negara di dunia guna program vaksinasi. Vaksin pada waktu itu belum disahkan dan belum dapat diguna. Itu konteks waktu itu.

Apabila kita buka semula sekolah pada Januari untuk Tingkatan Lima dan pada Mac untuk yang lain, vaksin baru bermula iaitu Februari dan kita hadapi sedikit cabaran sebab bekalan vaksin dan sebagainya. Vaksin (ketika itu) tak ramai (yang ambil) dan varian Delta juga tak ada (April baru kenal pasti).

Hari ini kes tinggi, namun jika diteliti seperti dijelaskan KKM, kadar kemasukan (kes COVID-19) ke hospital untuk tahap tiga, empat dan lima jauh berkurang. Data di Labuan dan Sarawak menunjukkan vaksinasi tinggi dan keadaan kes itu berbeza.

Dengan dua keadaan berbeza, apabila KPM buat keputusan maka ia bukan suka-suka, sebaliknya sudah diteliti dan dibincang dengan pakar sebelum buat ketetapan. Apa yang penting untuk kita lihat pendidikan terkesan begitu teruk. Daripada tahun lalu kita tutup sekolah, bayangkan kalau terus tutup untuk lapan bulan daripada Mei, jadi kami fikir apa pendekatan paling sesuai untuk buka sekolah.

Kalau nak pendekatan mudah bagi KPM, lebih baik tak buka sekolah terus dan tunggu saja kes reda, tetapi hakikatnya, lagi lama ditutup sekolah, anak semakin renggang dengan sekolah. Ini penting.

S: Mengapa situasi anak-anak renggang dengan sekolah membimbangkan?

J: Apabila 'semakin renggang, anak-anak tak rasa diri mereka sebahagian daripada sistem sekolah. Kalau dulu, dia bangun pagi bersiap ke ke sekolah, tetapi sekarang rutin mereka berubah. Ibu bapa pun bagi respon keadaan disiplin anak berbeza. Jika diperincikan, ramai anak ikuti PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) tetapi pada masa sama, kaedah pelaksanaan berbeza sebab banyak kekangan.

Ada miliki ruang di rumah yang selesa, laptop (komputer riba) yang baik, internet yang baik, maka PdPR mereka terbaik. Ada pula tak ada laptop (komputer riba), internet kadang-kadang ada dan kadang-kadang tak ada, ada juga yang pakai telefon ibu bapa dan apabila mereka pergi kerja, maka tak dapat ikuti kelas. Di luar bandar pula, tak ada kemudahan, jadi kita guna pendekatan lain.

Sebab itu, KPM buat keputusan ambil jalan tengah terbaik dan paling sesuai untuk manfaat lima juta murid, dengan mengambil kira pandangan pakar dan jabatan berkaitan. Ia suatu keputusan mendalam, disusun dan diperincikan satu persatu bagi memastikan kita buka sekolah dan cuba pastikan keadaan itu benar-benar selamat.

S: PdPR menuntut inovasi dan kreativiti guru, namun pendidik tidak pernah dilatih untuk itu?

J: Saya masuk KPM pada 9 Mac dan lapor diri pada 11 Mac. Baru duduk sekejap, pada 16 Mac diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan 18 Mac. Hanya satu minggu untuk duduk dan fahami. Jadi, kita duduk berbincang dan saya panggil guru besar apakah 'home based learning' (pembelajaran di rumah) dan 'online learning' (pembelajaran dalam talian) yang pernah kita buat.

Maklum balas diterima, ia hanya berlaku di sekolah - maksudnya sekadar ada komputer dan internet di sekolah saja, tak ada pembelajaran di rumah dan guru juga tak dilatih. Maksudnya, ia tak pernah dilaksanakan. Kita rasa guru dan murid memang tak sedia, kami pun tak sedia kerana keadaan begitu pantas dan situasi berubah dengan cepat.

Namun, kita buat keputusan anak-anak perlu terus belajar, maka kita laksanakan PdPR ikut kesesuaian guru dan murid. Guru ada kekangan mungkin tak pernah guna medium dalam talian, murid pun ada kekangan dari segi gajet dan sebagainya. Jadi, kita ikut kesesuaian guru dan murid. Maka apabila dilaksanakan, latihan berterusan diberi untuk guru, supaya mereka bersedia dalam konteks pendidikan digital - macam mana nak gunakan dan apa cara terbaik untuk menyampaikan pengajaran secara 'home based learning' ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

S: Pendidikan digital suatu kemestian. Apa usaha KPM untuk memastikan aspek ini dipertingkatkan bagi menempuhi cabaran mendatang?

J: Dunia bercakap mengenai teknologi IR4.0 (Revolusi Perindustrian Keempat) - situasi yang mana kita akan menjadi sebahagian daripadanya dan cuba mengadaptasinya. Namun apabila berlaku pandemik, kita lihat pendigitalan pendidikan satu keperluan mendesak. Banyak negara sudah ada ada perancangan untuk pendidikan digital, namun memandangkan pandemik datang dengan impak besar, banyak negara membawanya ke depan.

Di KPM, pendidikan digital diberikan penumpuan. Sebab itu, KPM di peringkat akhir menyediakan dasar pendigitalan negara dengan satu kerangka akan digunakan bagi memastikan kita dapat melahirkan anak-anak yang fasih digital. Untuk itu, guru juga perlu dilatih, begitu juga pentadbiran sekolah supaya mereka dapat memainkan peranan sebaik mungkin. Inilah tumpuan utama KPM, mengambil kira apa yang kita pelajari dalam konteks pandemik ini.

S: Bagaimana dengan bahan bantu mengajar seperti buku teks dan sebagainya?

J: Kita ada perancangan jangka pendek dan panjang untuk dasar ini berkaitan buku teks dan buku interaktif. Ia satu komponen mengenai dasar ini yang sedang kita lihat bagaimana dapat kita guna teknologi untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran (PdP), selaras perkembangan digitalisasi seluruh dunia. Bukan hanya buku teks, bahan mengajar lain juga supaya anak-anak dapat bersaing. Itu sebahagian komponen yang ada apabila bercakap dasar ini.

Dari segi kelebihan, dalam konteks umum ia memudahkan bagaimana guru lebih mudah menggunakan aplikasi supaya tugasan dapat dilaksanakan lebih cepat dan produktif, menggunakan bahan pengajaran lebih berkesan untuk anak-anak. Ini yang kita lihat supaya apabila dilaksanakan kelak, akan memberi satu impak baik dari sudut memudahkan tugasan dan supaya PdP itu berkesan. Sudah tentu ia mengambil sedikit masa, kerana perlu dicerakinkan satu persatu sebelum ambil ketetapan ini.

S: Aspek tekanan antara isu timbul sepanjang PdPR berlangsung. Apa usaha KPM dalam soal ini?

J: Dengan kekangan pelbagai, kita cuba melihat apa boleh dibantu untuk pastikan dalam keadaan sukar kita dapat bergerak bersama supaya anak-anak dapat pendidikan terbaik.

Sebagai contoh, program kaunseling untuk guru. Kita sediakan khidmat bagaimana tekanan dihadapi dengan PdPR, PKP dan sebagainya. Ini semua kita tekankan dan perkhidmatan dalam konteks kaunseling selalu kita beri keutamaan. Murid juga boleh berhubung dengan guru, laporkan tentang keadaan mereka dan rakan yang mereka tahu.

Dalam konteks pembukaan sekolah, kita ambil kira keadaan pendidikan yang tak kondusif, kekangan yang timbul dan sebagainya. Dalam perjumpaan bersama pakar kita minta bantuan pihak persatuan berkaitan dengan kaunseling ini. Di rumah, mereka (murid) tak ada sesiapa nak bercerita, jadi apabila kembali ke sekolah proses ini boleh berlaku. Dia mungkin tak cerita secara langsung kepada guru pasal tertekan dan sebagainya, jadi kawan akan sampaikan kepada guru. Maksudnya sistem sokongan lebih dekat kepada murid, khususnya yang tertekan apabila sekolah ditutup untuk tempoh panjang dan pelbagai kekangan dihadapi.

Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

S: Bagaimana pula dengan ibu bapa yang tak mahu anak mereka divaksin?

J: Program vaksinasi untuk remaja baru bermula dan data kita pantau sebab kita tak tahu lagi tahap penerimaannya. Setakat ini, penerimaannya baik dalam konteks anak-anak ini. Kita akan lihat dulu datanya sebelum sebarang ketetapan mengenai vaksinasi murid dibuat. Macam peringkat awal guru divaksin, kita tak tahu datanya dan apabila kita tahu, maka kita baru buat ketetapan. Kita terus pantau keadaan. Kita kenal pasti berapa ramai tak mahu, sekolah mana dan sebagainya.

Mengenai vaksinasi untuk remaja 12 hingga 17 tahun, alhamdulillah ia berjalan dengan baik. Sekolah sendiri ada hubungi ibu bapa, alhamdulillah ada satu kerjasama yang baik. Untuk sekolah asrama, murid berasal dari negeri lain tetapi belajar di negeri lain hampir semua sudah divaksin. Bahagian pengurusan sekolah asrama penuh sudah uruskan, di mana murid yang asalnya di Selangor dan sekolah di Selangor, selesaikan vaksin di Selangor, murid dari Kelantan dan bersekolah di Kedah, selesaikan (vaksin) di Kelantan. Maksudnya, mereka selesaikan vaksin di negeri masing-masing. Kalau tak selesai lagi, kita akan uruskannya untuk dibuat di sekolah.

S: Apa pelan KPM untuk mengatasi isu 'lost generation' atau generasi yang hilang?

J: Tempoh dua tahun memberi impak besar kepada pendidikan anak-anak dan kita risau apabila murid mula renggang dengan persekolahan. Kita ada data ini, berapa ramai murid sekolah rendah dan menegah tak ada penglibatan langsung dengan PdPR. Pada mulanya ramai, namun dengan intervensi dilakukan, jumlahnya semakin berkurangan.

Jadi kita nak pastikan sebelum anak-anak ini naik ke kelas seterusnya, dia bersedia. Kalau perlu menguasai tahap minimum katakan Tahun Tiga, kita kena pastikan (lanjutan sesi persekolahan) Januari dan Februari depan, mereka dapat kuasai tahap minimum dan naik ke Tahun Empat, dengan sekurang-kurangnya menguasai tahap minimum.

Insya-Allah dalam masa akan datang kita akan adakan program intervensi dan program 'catch up' (susulan) untuk membolehkan mereka merangkum atau mengambil kembali apa tertinggal dalam tempoh terbabit dan menyediakan mereka ke tahap berikutnya.

Sebagai contoh, program KPM PerkasaKU sebagai pelan 'catch up', yang mana kita tahu mereka ketinggalan, maka untuk Januari dan Februari depan kita akan 'polish' (gilap) supaya kembali kepada asas betul silibus supaya bersedia mengakhiri zaman persekolahan seperti yang anak-anak lalui sebelum ini.

S: Apa jaminan boleh diberikan KPM bahawa sekolah itu selamat?

J: Kita buat keputusan buka sekolah dengan penuh perincian, bagaimana kita buka ikut fasa sebagai contoh dan (murid) hadir secara penggiliran. Ini tak pernah dilaksanakan. Sebagai contoh kelas ada 36 orang murid, minggu ini kumpulan satu dan minggu depan kumpulan dua. Jumlah (murid hadir ke sekolah) akan jadi lebih sedikit. Kalau kata seorang kena (positif COVID-19), potensi murid lain dijangkiti kita sudah kurangkan kepada separuh.

Pengudaraan dalam kelas juga penting. Antara nak kelas cantik atau nak kelas selamat, kita pilih keselamatan. Tak apa kelas panas sedikit, nanti cikgu akan cari pendekatan lain. Kita susun pastikan keadaan itu selamat untuk anak-anak. Kita pastikan juga semua di sekeliling anak-anak divaskin - guru, pekerja kantin dan kakitangan sekolah. KPM dah ikhtiarkan terbaik untuk ini.

Namun, kita masih beri peluang kepada ibu bapa kalau tak yakin untuk hantar anak ke sekolah tak apa. Kita ambil pendekatan 'win-win' (menang-menang) dan kita doakan Insya-Allah, awal tahun depan semua akan kembali apabila kita masuk fasa endemik. Kita tahu virus ada, tetapi keadaannya terkawal.

Yang penting, fahami bahawa kami ikhtiar yang terbaik, kami nak lihat anak kembali ke sekolah supaya mereka tak terus renggang dengan sekolah.

Berita Harian X