Rabu, 29 September 2021 | 7:08pm
 Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3, manakala Kedah daripada Fasa 1 kepada Fasa 2. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah
Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3, manakala Kedah daripada Fasa 1 kepada Fasa 2. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Lembah Klang, Melaka dan Kedah beralih fasa PPN

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang, Melaka dan Kedah berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas berkenaan, berkata Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3, manakala Kedah daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

"Peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini.

"Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my.

Berita Harian X