Isnin, 27 September 2021 | 8:02pm
Gambar hiasan. Foto fail BERNAMA
Gambar hiasan. Foto fail BERNAMA

Tujuh lokaliti di Perak, Pahang kena PKPD

KUALA LUMPUR: Tujuh lokaliti di Pahang dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini hingga 12 Oktober ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, empat lokaliti PKPD di Tanjung Rambutan, Kinta ialah Kampung Bakok; Kampung Jambu; Kampung Lalang dan Kampung Dollah.

Beliau berkata, lokaliti di Pahang yang dikenakan PKPD ialah tiga rancangan FELDA di Bera iaitu FELDA Rentam; FELDA Tementi dan FELDA Sebertak.

"Selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko, MKN memutuskan untuk mengenakan PKPD di semua lokaliti berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, semua PKPD yang diputuskan itu akan bermula pada 29 September hingga 12 Oktober ini.

"MKN turut meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa kawasan yang dikenakan PKPD dan memutuskan untuk menamatkan PKPD di Kampung Orang Asli Sungai Gangai, Mukim Slim, Perak; Kampung Tamalian, Raub dan Kampung Paya Pelong, Temerloh.

"Selain itu, turut ditamatkan ialah Kampung Warisan di Kota Kinabalu; Rumah Pangsa Tanjung Aru; Kampung Rugading, Kota Marudu; Kilang Fu Yee di Kalabakan," katanya.

Berita Harian X