Ahad, 26 September 2021 | 1:54pm
Dr Azmi Hassan.
Dr Azmi Hassan.

UNGA: Malaysia secara tersirat nyatakan pendirian isu AUKUS

KUALA LUMPUR: Sokongan Malaysia terhadap penghapusan keseluruhan senjata nuklear dan gencatan senjata global dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) malam tadi secara tidak langsung menzahirkan pendirian negara ini dan ASEAN terhadap AUKUS.

AUKUS adalah pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan perolehan kapal selam nuklear oleh Australia.

Pakar Geostrategik, Dr Azmi Hassan, berkata ia juga satu penjelasan yang amat tepat kerana terdapat tuduhan mengatakan Malaysia cenderung kepada China dalam isu AUKUS sebagaimana dakwaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut memuji penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan senjata nuklear dalam ucapan sulung di UNGA kerana AUKUS membabitkan negara kuasa besar dunia.

"Walaupun tidak disebut (AUKUS) secara spesifik, penegasan itu boleh dikatakan sebagai pendirian Malaysia dan negara ASEAN dalam hal berkenaan.

"Sebagai rakyat, saya amat berpuas hati dengan penekanan Perdana Menteri terhadap senjata nuklear dan gencatan senjata global," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam ucapan secara maya di UNGA ke-76, Ismail Sabri menegaskan Malaysia menyokong penghapusan keseluruhan senjata nuklear dan memberi jaminan supaya ia tidak lagi dibangunkan.

Beliau turut menegaskan negara ini komited terhadap Triti Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) kerana pembangunan dan kerahan penggunaan senjata nuklear terus menjadi ancaman terhadap seluruh peradaban manusia.

Dalam ucapan itu, Perdana Menteri menjelaskan Malaysia selaku negara anggota ASEAN komited dalam memelihara rantau Asia Tenggara sebagai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).

Sementara itu, Azmi, berkata Malaysia secara halus turut mengkritik negara maju yang membolot bekalan vaksin apabila Perdana Menteri menjelaskan mengenai pendekatan Keluarga Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Katanya, melalui pendekatan Keluarga Malaysia, kerajaan memberikan vaksin kepada semua rakyat tanpa ada golongan yang tertinggal.

"Apabila Perdana Menteri menjelaskan konsep Keluarga Malaysia yang mana tiada penduduk tercicir daripada menerima vaksin COVID-19, beliau nak tekankan betapa tidak adilnya pengagihan vaksin itu di peringkat global.

"Perdana Menteri secara tersirat menyatakan negara kaya telah membolot vaksin untuk rakyat mereka sahaja," katanya.

Azmi berkata, Malaysia juga telah menjadikan UNGA sebagai platform mengetengahkan isu-isu global yang cuba dielak oleh negara lain.

Beliau berkata, isu Palestin dan Myanmar umpamanya dikatakan sebagai isu yang tidak mahu disentuh oleh negara Islam dan negara ASEAN.

"Itu adalah komitmen Malaysia dari dulu lagi untuk menyatakan sokongan kepada Palestin dan kebimbangan terhadap perkembangan di Myanmar.

"Dua isu ini tidak pernah terlepas oleh setiap Perdana Menteri di UNGA kerana itu adalah dasar luar kita," katanya.

Berkenaan gesaan Malaysia supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditransformasi bagi membolehkan peranannya lebih berkesan, Azmi percaya ia sebenarnya merujuk kepada Majlis Keselamatan PBB.

"Apa yang penting ialah kita sebagai negara kecil menggunakan landasan ini untuk memperjuangkan isu global yang tidak mahu disentuh oleh pemimpin negara lain," tegasnya.

Berita Harian X