Ahad, 26 September 2021 | 1:36pm

Umum terma RCI Tabung Haji dalam masa terdekat

PASIR PUTEH: Terma dan syarat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diwujudkan Julai lalu bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) akan diumumkan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata siasatan yang akan dibuat nanti juga merangkumi tempoh antara 2014 hingga 2020 seperti yang diputuskan sebelum ini.

"Kabinet akan putuskan juga soal terma dan syarat itu. Semua transaksi dan apa sahaja bentuk urusan TH yang perlu kepada penyiasatan kerana berbangkit sama ada melalui sidang Parlimen atau penulisan yang meragukan sehingga membuat rakyat cemas akan dirungkaikan melalui penubuhan RCI ini.

"Senarai keahlian RCI juga sudah dikenalpasti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai lalu dan diumumkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan itu juga berkata bahawa penubuhan RCI adalah wajar bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

Terdahulu Ahmad Marzuk menyempurnakan majlis serahan Sumbangan Qaseh Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perumahan nelayan Tok Bali, di sini, hari ini.

Seramai 300 penerima daripada nelayan sekitar menerima sumbangan daging lembu segar sumbangan YaPEIM menerusi program bank makanan sebegitu.

Selain itu, Ahmad Marzuk berkata, di bawah Program YaPEIM Prihatin, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM11 juta sebagai bantuan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Sebelum ini, kerajaan meluluskan RM5 juta namun apabila melihat kepada pandemik ini yang masih lagi besar dan perlu kepada tambahan peruntukan, jumlah itu ditambah sebanyak RM6 juta lagi.

"Kita akan bergerak ke seluruh negara dan program ini adalah sebahagian daripada pelengkap kepada bantuan lain dan ia juga bukti tanda sayang dan kasih kepada keluarga Malaysia khususnya golongan B40," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sumbangan bekalan daging lembu segar sumbangan YaPEIM kepada sebahagian 300 penerima pada Majlis Qaseh Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perumahan nelayan Tok Bali, di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sumbangan bekalan daging lembu segar sumbangan YaPEIM kepada sebahagian 300 penerima pada Majlis Qaseh Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perumahan nelayan Tok Bali, di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X