Ahad, 26 September 2021 | 11:27am
Pengarah APM Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub (kanan) dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus melawat menara tinjau di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
Pengarah APM Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub (kanan) dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus melawat menara tinjau di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman

Tiada aktiviti sukan air di Pantai Chenang selepas 7 malam

LANGKAWI: Pelancong tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti sukan air termasuk berenang dan menyelam di pesisir Pantai Chenang di sini, selepas jam 7 malam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, berkata larangan itu bagi memudahkan pemantauan dilakukan, selain mengelak tragedi meragut nyawa.

"Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Pantai Chenang ditutup untuk sebarang aktiviti riadah termasuk sukan air, berenang dan menyelam selepas 7 malam.

"Ini kerana menjelang waktu itu, kawasan persekitaran mulai gelap dan pandangan anggota APM yang bertugas agak terhad," katanya ketika ditemui selepas meninjau pematuhan SOP di pantai itu, di sini, petang semalam.

Awang Askandar berkata, Pantai Chenang kini meriah dengan ramai pelancong kembali melakukan aktiviti riadah termasuk aktiviti jet ski, paragliding, 'banana boat', berenang dan menyelam.

"Menjelang jam 7 malam, anggota kita akan naikkan bendera, bunyikan siren dan meniup wisel menandakan Pantai Chenang ditutup untuk sebarang aktiviti sukan air.

"Jika ada pelancong yang masih berdegil anggota kita akan mendekati dan menasihati mereka bagi mengelak kejadian buruk," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam semua keadaan dan melakukan pemantauan aktiviti pengunjung di kawasan itu menerusi tiga menara.

"Seramai 24 anggota APM ditugaskan melakukan pemantauan dan kerja menyelamat dengan lapan anggota ditempatkan di setiap menara pada satu-satu masa.

"Mereka memang terlatih dan dibantu pelbagai aset termasuk jet ski, bot dan peralatan menyelamat lengkap bagi berhadapan sebarang kemungkinan," katanya.

Berita Harian X