Sabtu, 25 September 2021 | 9:53pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Sabah catat tiga angka kes COVID-19

KOTA KINABALU: Kes positif COVID-19 di Sabah menunjukkan trend penurunan dengan kes direkodkan mencatatkan tiga angka iaitu sebanyak 962 kes berbanding semalam 1,273 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, terdapat penurunan jumlah kes agak besar di beberapa daerah.

"Buat pertama kali sejak 4 Ogos lalu, jumlah kes COVID-19 di Sabah turun di bawah paras 1,000 kes iaitu sebanyak 962 kes.

"Hari ini tidak ada daerah mencatat jumlah kes tiga angka seperti sebelum ini. Ini satu petanda baik.

"Bagaimanapun, pada peringkat ini masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada trend penurunan ini akan berterusan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Masidi berkata, Kota Kinabalu kekal mencatatkan jumlah kes tertinggi sebanyak 91 kes diikuti Sandakan (81), Lahad Datu (73); Tuaran (70); Kota Marudu (65); dan Tawau (64).

"Sebanyak 19 kes kematian pula dilaporkan pada hari ini iaitu tujuh kes di Sandakan, Kota Kinabalu (tiga), dua kes di Tenom dan Kota Marudu manakala satu kes di Lahad Datu, Tawau, Papar, Kinabatangan dan Kunak," katanya.

Berita Harian X