Jumaat, 24 September 2021 | 7:55pm
Kerajaan hanya akan memberikan dos ketiga kepada kumpulan tertentu dan bukan semua populasi yang layak menerima vaksin COVID-19. - Foto hiasan NSTP
Kerajaan hanya akan memberikan dos ketiga kepada kumpulan tertentu dan bukan semua populasi yang layak menerima vaksin COVID-19. - Foto hiasan NSTP

Dos ketiga bukan untuk semua rakyat

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memberikan dos ketiga vaksin COVID-19 kepada kumpulan berisiko tinggi, tidak bercanggah dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meminta pemberian suntikan tambahan itu ditangguhkan hingga akhir tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan kerajaan itu wajar kerana Malaysia tidak merekodkan sebarang pembaziran vaksin COVID-19 di negara ini, berbanding beberapa negara maju yang sebelum ini membolot vaksin itu.

Selain itu, katanya, kerajaan hanya memberikan dos ketiga kepada kumpulan tertentu dan bukan semua populasi yang layak menerima vaksin COVID-19.

"Kita turut menyumbang vaksin kita kepada negara lain, antara ke Bosnia ketika kemuncak pandemik seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Langkah kerajaan memberikan dos ketiga vaksin COVID-19 kepada kumpulan berisiko tinggi, tidak bercanggah dengan saranan WHO. - Foto hiasan NSTP
Langkah kerajaan memberikan dos ketiga vaksin COVID-19 kepada kumpulan berisiko tinggi, tidak bercanggah dengan saranan WHO. - Foto hiasan NSTP

"Malah, tiada pembaziran vaksin dikesan di Malaysia. Ini berbeza berbanding negara maju yang membolot vaksin namun ada pembaziran apabila ada dos yang tidak digunakan selepas tarikh luput, sedangkan Malaysia gunakan semua stok vaksin yang ada.

"Malah, jika wujud situasi di mana bekalan vaksin tidak perlu dihantar, Malaysia boleh tangguhkan penghantaran supaya bekalan itu boleh dihantar ke negara lain terlebih dahulu," katanya pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini, WHO dilaporkan menggesa moratorium terhadap pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 sehingga hujung tahun ini berikutan masih banyak negara yang baru memulakan program imunisasi masing-masing.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, keputusan Malaysia untuk memberi dos ketiga seawal bulan depan juga sudah mengambil kira faktor beberapa negara yang belum atau baru memulakan suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

"Sebab itu kita belum umum pemberian dos penggalak untuk semua populasi. Masih ada negara yang belum beri dos pertama. Jadi, dos ketiga yang kita berikan khusus kepada mereka yang memiliki sistem imun yang rendah dan tidak mendapat perlindungan mencukupi daripada dua dos vaksin.

"Isunya sekarang ada negara yang bolot vaksin tapi membazirkannya apabila ia tidak digunakan hingga melepasti tarikh luput. Ini sangat salah," katanya.

Berita Harian X