Jumaat, 24 September 2021 | 12:02pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Penyebaran mesej, video lucah ganggu siasatan kes pendakwah

KUALA LUMPUR: Segala bukti dan maklumat berkaitan dakwaan berlaku salah laku dan gangguan seksual dilakukan seorang pendakwah terkenal sewajarnya diserahkan kepada pihak polis dan bukan disebarkan di media sosial.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, perbuatan menyebarkan bukti dan maklumat itu jelas mengganggu dan melambatkan proses siasatan polis ke atas pendakwah terbabit yang kini masih berjalan.

"Kita sudah buka satu kertas siasatan berhubung penyebaran video dan mesej lucah berkenaan kerana ia mengganggu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pendakwah terbabit.

"Kita minta orang ramai di luar sana menghormati siasatan yang kini sedang dijalankan secara lebih terperinci oleh pihak polis.

"Patuhilah undang-undang kerana kita tidak mahu kenyataan yang disebarkan itu mengganggu siasatan kes," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan sebagai berkata Bukit Aman membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran video dan mesej lucah di aplikasi sembang maya Telegram yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata pihaknya memohon orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat-maklumat yang boleh membantu siasatan supaya tidak menyebarkannya di media sosial.

"Hantar terus kepada pihak polis bagi membolehkan kita melengkapkan kertas siasatan (ke atas pendakwah) seterusnya kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

"Mereka yang mempunyai maklumat atau mangsa boleh bertemu terus dengan pihak polis atau terus ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), JSJ Bukit Aman untuk membantu melengkapkan siasatan kes itu.

"Jangan pergi ke pihak ketiga kerana perkara itu akan diperbesarkan-besarkan. Kita mahu menjaga semua pihak, sama ada mangsa, pemberi maklumat serta individu yang ditohmah. Kita perlu jaga kepentingan ketiga-tiga pihak ini," katanya.

Mengulas perkembangan siasatan penyebaran mesej dan video lucah itu, Abd Jalil berkata pihaknya akan memanggil individu atau pihak yang didakwa bertanggung jawab menyebarkan video dan mesej lucah untuk membantu siasatan.

"Kita akan siasat akaun Telegram dan Instagram dikaitkan dengan perkara itu, dan buat masa ini kita tidak dapat mengesahkan bahawa mereka yang bertanggung jawab menyebarkan maklumat itu kerana masih dalam siasatan.

"Kita juga masih menyiasat sama ada maklumat yang tersebar itu ada kaitan dengan mangsa-mangsa yang sudah tampil kepada pihak polis sebelum ini," katanya.

Berita Harian X