Khamis, 23 September 2021 | 6:50pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Benarkan rentas negeri jika vaksinasi capai 80 peratus'

KUALA LUMPUR: Kelonggaran sekatan pergerakan termasuk membenarkan perjalanan rentas negeri boleh dipertimbangkan jika kadar vaksinasi di setiap negeri mencapai 80 peratus.

Pakar Epidemiologi dan Biostatistik, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata jika kerajaan meletakkan tahap 90 peratus vaksinasi untuk melonggarkan sekatan pergerakan, ia bakal menyaksikan kadar liputan pemberian vaksinasi di setiap negeri berbeza.

Mengakui kelonggaran diberikan dapat membantu mengurangkan tekanan dan masalah mental kerana terlalu lama berkurung, beliau bagaimanapun berkata, perkara mustahak ketika ini adalah memastikan negeri yang rendah kadar vaksinasinya mencapai sasaran 80 peratus terlebih dulu dalam usaha menyediakan satu ekosistem yang lebih selamat.

"Tidak ada satu negara mempunyai model yang bagus mengenai (pengurusan) COVID-19. Tidak ada yang setakat ini boleh keluar daripada kepungan COVID-19. Misalnya Israel dulunya hebat (kadar vaksinasi tinggi) tetapi sekarang bergelut dengan kes jangkitan kerana varian Delta.

"Apa yang kita boleh buat adalah mencuba tetapi perlu sokongan data dan bukan atas sentimen serta ketakutan. Apabila kita mahu buka (perjalanan rentas negeri), kena ada polisi yang bergantung pada data.

"Untuk kelonggaran seperti merentas negeri, kadar vaksinasi 90 peratus adalah perlu tetapi kadar liputan perlu juga hampir sama (di setiap negeri) dan bukan 80 peratus vaksinasi dalam kalangan populasi dewasa sekarang.

"Maksudnya setiap negeri perlu capai 80 peratus kadar vaksinasi, tetapi masih banyak negeri yang mencatat bawah 70 peratus," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dipengerusikan beliau semalam.

Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hafiz Jaafar, pula berkata lebih tinggi kadar vaksinasi, lebih sesuai untuk kerajaan mempertimbang menarik sekatan pergerakan.

Selain itu, katanya, data seperti kadar kematian dan kemasukan ke hospital juga perlu diberi perhatian sebelum memutuskan untuk melonggarkan sekatan tertentu.

"Langkah kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri sebaik saja kadar liputan imunisasi mencapai 90 peratus adalah tepat. Ini kerana kita seharusnya bersedia memasuki fasa endemik.

"Dengan kadar liputan imunisasi yang tinggi, kadar kematian dan kemasukan ke hospital dijangka menurun mendadak, malah banyak SOP diperkenalkan sebelum ini boleh dilonggarkan mengikut kesesuaian tempat.

"Tidak mustahil kita mampu mencapai kadar liputan imunisasi 90 peratus dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi atau lebih awal jika tahap kesedaran semakin meluas," katanya.

Dr Mohd Hafiz berkata, sekatan pergerakan wajar dilonggarkan kerana ia langkah yang boleh merungkai isu kelesuan pandemik sedang melanda rakyat ketika ini.

Katanya, pengumuman kerajaan itu boleh dianggap satu bentuk galakan positif atau ganjaran atas usaha rakyat mematuhi SOP dan menerima suntikan vaksinasi.

Berita Harian X