Khamis, 23 September 2021 | 2:41pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. - Foto NSTP
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. - Foto NSTP

'Peralihan fasa mampu rancakkan semula ekonomi '

SEREMBAN: Negeri Sembilan berada di landasan yang tepat untuk terus memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 selepas negeri itu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata peralihan berkenaan tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama petugas barisan hadapan dan kepatuhan penduduk negeri itu terhadap prosedur standard operasi (SOP).

"Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP yang ditetapkan dengan baik.

"Peralihan ke Fasa 4 PPN ini juga tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama baik semua petugas barisan hadapan yang berusaha menguatkuasakan SOP," katanya dalam satu kenyataan.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan menumpukan usaha yang menyeluruh untuk merancakkan semula ekonomi sekali gus mengurangkan kesan pasca COVID-19.

"Dengan peralihan ke Fasa 4 PPN ini, usaha yang lebih menyeluruh untuk menggalakkan ekonomi dapat dilaksanakan dan seterusnya mengurangkan impak terhadap sektor ekonomi pasca COVID-19 kelak," katanya.

Beliau turut meminta penduduk di Negeri Sembilan supaya mendapatkan maklumat mengenai SOP Fasa 4 PPN melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam dilapor mengumumkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor dibenarkan untuk peralihan fasa mulai 24 September ini.

Berita Harian X