Khamis, 23 September 2021 | 1:45pm

70 rumah di Manjung rosak dibadai ribut

MANJUNG: Kira-kira 70 kediaman di daerah ini rosak akibat dibadai ribut yang melanda sekitar mukim Sitiawan, Lumut, Pengkalan Bharu, Beruas dan Lekir, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, terdapat rumah penduduk yang ranap dihempap pokok tumbang, selain siling rosak dan bumbung diterbangkan angin kencang.

Mangsa, Rahiah Zakaria, 74, berkata insiden mencemaskan itu berlaku ketika beliau sedang berehat di dalam bilik selepas selesai mengaji di rumahnya di Kampung Pasir Panjang Laut, di sini.

Mohd Akhir (dua kiri) menunjukkan siling rumah yang rosak akibat ribut. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Mohd Akhir (dua kiri) menunjukkan siling rumah yang rosak akibat ribut. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI.

"Tiba-tiba, terdengar bunyi dentuman kuat di ruang tengah rumah. Ketika itu, angin memang sangat kencang dan hujan juga mulai turun.

"Saya terkejut dan terus keluar dari bilik sebelum melihat anak perempuan sedang merangkak keluar dari bawah alang kayu yang roboh, manakala cucu pula menangis ketakutan," katanya kepada BH, hari ini.

Rahiah yang juga ibu tunggal, tinggal di rumah itu bersama anak perempuan, Rokiah Yunus, 38, menantu, seorang cucu lelaki dan seorang lagi anak lelakinya.

Beliau berkata, Rokiah berada di ruang tengah dan menemani anak, Mohamad Amir Mohamad Nizar, 9, mengulang kaji pelajaran sebelum kediaman mereka ditimpa pokok kelapa yang tumbang.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan ketika itu kerana kejadian berlaku dalam sekelip mata," katanya.

Namun, beliau bersyukur mereka sekeluarga terselamat dalam insiden itu dengan anak perempuannya hanya mengalami calar di bahu akibat terkena alang kayu.

"Orang kampung juga datang membantu kami dan memotong pokok kelapa yang menghempap rumah, sebelum dinding kayu di bahagian tengah terus roboh sepenuhnya," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Akhir Nuruddin, 68, berkata sebahagian atap, siling dan penutup bumbung rumahnya di Fasa 3A Seri Manjung, rosak dalam kejadian ribut itu.

"Ketika itu, saya bersama beberapa jiran sedang memegang 'awning' di hadapan rumah yang hampir diterbangkan angin kencang, sebelum terdengar bunyi kuat di dalam rumah.

"Saya segera masuk ke dalam rumah dan terkejut apabila melihat keadaan sudah teruk, namun mujur isteri (Azmiah Othman, 65) yang duduk di ruang tamu selamat.

"Bagaimanapun, bumbung dan siling di bilik tengah mengalami kerosakan. Malah, air hujan turut memenuhi bilik itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan, dan Pejabat Daerah Manjung akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana Daerah.

Beliau berkata, penilaian akan dilakukan pihak terbabit sebelum bantuan disalurkan.

Rahiah di hadapan rumahnya yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Pasir Panjang Laut, Manjung. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Rahiah di hadapan rumahnya yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Pasir Panjang Laut, Manjung. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Berita Harian X