Khamis, 23 September 2021 | 11:27am
Gambar hiasan - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Gambar hiasan - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Patuh jadual tanam padi musim 2/2021 - MADA

ALOR SETAR: Keseluruhan 57,635 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis, diminta mematuhi jadual penanaman padi musim 2/2021 yang bermula 15 September lalu hingga 4 November depan.

Pengurus Besar MADA, Kamaruddin Dahuli, berkata pesawah perlu mengikut tiga fasa jadual ditetapkan di kawasan masing-masing bagi memudahkan pengurusan sokongan bekalan air untuk pertanian.

"Proses menabur benih bagi fasa satu bermula 15 September lalu dan berakhir 15 Oktober, manakala fasa dua akan bermula 25 September hingga 25 Oktober depan.

"Bagi fasa tiga pula, proses menabur benih akan bermula 5 Oktober hingga 4 November depan.

"Keputusan ini dibuat selepas mencapai persetujuan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) bagi Musim 2/2021 yang dianggotai MADA serta pemimpin peladang Kawasan Muda," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kamaruddin berkata, jadual itu ditentukan selepas MADA mengambil kira beberapa faktor seperti ramalan sumber air sepanjang tahun, termasuk takungan air di empangan, aliran sungai, hujan di kawasan sawah dan guna semula air saliran.

Selain itu, beliau berkata, MADA juga mengambil kira faktor ramalan pencapaian aktiviti penuaian bagi musim 1/2021, varieti dan tempoh matang padi, serta masalah penyakit dan perosak padi.

"Pesawah dimohon memaksimumkan penggunaan air hujan di kawasan bendang untuk kegunaan aktiviti penanaman padi.

"Ini berikutan mengikut ramalan jangka panjang hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan pada Oktober hingga Disember depan adalah pada kadar purata," katanya.

Menjelaskan lanjut, Kamaruddin berkata, bekalan benih padi sah (BPS) bagi musim 2/2021 pula akan dipasarkan melalui 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

Beliau berkata, pesawah juga boleh mendapatkan bekalan BPS daripada ejen atau individu yang memiliki lesen atau surat kebenaran khas menjualnya pada harga siling RM35 bagi setiap beg.

"Peladang dinasihat menggunakan BPS saja bagi tujuan penanaman padi dan sentiasa mengikut amalan pertanian baik serta Senarai Semak Penanaman Padi (Rice Check), bagi meraih potensi hasil yang maksimum," katanya.

Berita Harian X