Rabu, 22 September 2021 | 2:40pm

Pertunjukan Hari ATM ke-88 'menggerunkan'

PORT DICKSON: Sambutan Hari Angkatan Tentera (ATM) ke-88 tahun ini di Kem Segenting yang diraikan tanpa kehadiran penonton disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di sini hari ini.

Affendi berkata, sambutan Hari ATM tahun ini agak 'menggerunkan'.

"Saya mengucapkan syabas kepada semua yang terbabit dalam menjayakan Hari ATM yang agak berbeza berbanding tahun sebelumnya dan itu adalah yang dipertunjukkan agak menggerunkan.

"Sekarang saya nak beritahu bahawa ini adalah pertunjukan kelas dunia kerana kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap yang tertinggi," katanya ketika berucap di Upacara Perbarisan Hari ATM di Kem Segenting di sini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Katanya, seramai 2,500 orang keseluruhan pegawai dan anggota ATM terbabit bagi menjayakan sambutan Hari ATM dengan agak berbeza berbanding tahun sebelumnya.

"Suka saya kongsikan berkaitan perancangan masa hadapan ATM sedang diusahakan melalui dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 yang kini berada di peringkat akhir penambahbaikan.

"SKN adalah instrumen aplikasi kuasa ketenteraan yang mendokong kuasa negara ke arah Malaysia yang selamat, berdaulat dan makmur," katanya.

Affendi berkata, Kem Segenting yang terletak di pesisiran pantai menunjukkan kerjasama tiga cabang perkhidmatan dengan Latihan Kesiapsiagaan Aset dan kompetensi ATM sebelum disusuli dengan acara Perbarisan Statik Tempur.

"Pelaksanaan Latihan Kesiapsiagaan ini juga memperlihatkan keupayaan aset membabitkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Keupayaan yang ditonjolkan adalah sebagai keyakinan kepada rakyat bahawa kesiapsiagaan ATM pada tugas utama tidak terjejas walaupun tumpuan negara menangani penularan wabak COVID-19," ujar beliau.

Antara ‘adegan’ dalam latihan sempena Hari Angkatan Tentera ke-88 - Foto NSTP/Azrul Adham Mohd Aminuddin
Antara ‘adegan’ dalam latihan sempena Hari Angkatan Tentera ke-88 - Foto NSTP/Azrul Adham Mohd Aminuddin

Antara aset yang digunakan dalam segmen Latihan Kesiapsiagaan ialah Kereta Kebal PT-91M PENDEKAR, Kereta Perisai 8x8 GEMPITA, Kenderaan Berperisai Berantai ADNAN, Kenderaan Berperisai 4x4 LIPAN BARA, Meriam 105MM LG 1 MK III, Helikopter LOH A109 Agusta, SUPACAT, KD Mahawangsa dan KD Jebat daripada TLDM.

Bagi acara Perbarisan Statik Tempur pula diketuai oleh Kolonel Mohd Rosli Abu Bakar membabitkan TDM, TLDM, TUDM, MALLBAT, GGK, PASKAL, PASKAU dan Pasukan Aturgerak Cepat (Para).

Turut diadakan ialah penyampaian anugerah Kesiapsiagaan Panglima Angkatan Tentera yang juga anugerah tertinggi ATM yang diberikan kepada formasi atau Briged terbaik bagi Tentera Darat.

Penerima anugerah Kesiapsiagaan Panglima ATM menerima piala pusingan serta wang tunai sebanyak RM5,000 kepada Panglima 10 Briged Para, Brig Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal, Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Asri Dasman dan Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jeneral Zulkiffli Musa.

  • Galeri sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88
  • Antara latihan kesiagaan yang membabitkan anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digunakan sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 di Kem Segenting - Foto NSTP/Azrul Adham Mohd Aminuddin
    Antara latihan kesiagaan yang membabitkan anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digunakan sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 di Kem Segenting - Foto NSTP/Azrul Adham Mohd Aminuddin
    Berita Harian X