Rabu, 22 September 2021 | 1:07pm

PARLIMEN: Malaysia cadang dapatkan pandangan China berhubung AUKUS

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mendapatkan pandangan -daripada China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan

pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya bercadang untuk melakukan lawatan kerja ke negara republik itu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

"Saya bercadang dalam tempoh terdekat untuk melakukan lawatan ke sana (China) bagi mendapatkan pandangan kepemimpinan negara itu, khususnya dalam konteks pertahanan.

"Kita akan cuba menelitinya, namun ia bukan perkara mudah bagi mengimbangi dua kuasa besar untuk melihat kedudukan kedaulatan keselamatan kita di rantau ini dapat dipertahankan," katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hishamuddin berkata, Malaysia juga sudah dihubungi oleh Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton mengenai AUKUS dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

"Dua hari lalu, saya mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Pertahanan Australia dan turut menasihati beliau supaya selain mendekati Malaysia adalah penting untuk mendekati Brunei sebagai Pengerusi ASEAN," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan bersedia membina lebih banyak hospital medan di negara ini dan hanya perlu menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menobatkan hospital medan di Malaysia sebagai hospital medan tahap tiga terbaik, paling lengkap dan sangat dipercayai.

"Kementerian Pertahanan sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mencontohi amalan terbaik yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa, termasuk konsep pembinaan hospital (medan) di Wuhan.

"Setakat ini, kita mempunyai sebanyak lapan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didirikan di seluruh negara bagi membantu petugas KKM merawat pesakit COVID-19," katanya.

Katanya, sejak awal pandemik melanda negara ATM sudah mengatur gerak seramai 4,233 anggota bagi melaksanakan pelbagai bentuk operasi, selain terbabit dalam pembinaan hospital medan di negeri memerlukan.

Bagi aspek meningkatkan kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan, Hishammuddin berkata, pihak kementerian merancang membina 10 Pos Imbangan ATM tahun depan.

"Ia bertujuan untuk mengimbangi pos kawalan Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta memperkukuhkan lagi kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan," katanya.

"ATM turut menjalin kerjasama dengan TNI di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan menerusi Operasi Gabungan bersama-sama Tentera Darat Malaysia (TDM) di enam pos gabungan," katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X