Selasa, 21 September 2021 | 7:28pm
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan

Pembukaan sekolah bantu pulih emosi murid

KUALA LUMPUR: Pembukaan sekolah bulan depan dapat memulihkan semula semangat belajar dalam kalangan murid.

Sesi pembukaan sekolah itu juga membolehkan guru mengenal pasti murid yang menghadapi masalah tekanan mental sepanjang sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dan berusaha memberikan khidmat terapi kaunseling kepada murid terbabit.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata sesi PdPR mengundang tekanan mental kepada murid kerana ia berbeza berbanding pembelajaran secara bersemuka.

Ditambah pula, katanya, murid dan ibu bapa berdepan kekangan dari sudut capaian Internet, alat peranti, kemahiran guru dalam pedagogi secara virtual dan suasana pembelajaran di rumah yang tidak sama di sekolah.

"Malah, ada yang terpaksa berkongsi alat peranti berikutan masalah sosio ekonomi keluarga pelajar.

"Justeru, pembukaan sekolah bulan depan diharap dapat memulihkan semula semangat belajar dalam kalangan murid ini," katanya.

Mohd Azizee berkata, pihaknya berharap proses vaksinasi dapat disegerakan untuk pelajar berusia 12 tahun hingga 18 tahun bagi membantu proses pembukaan sekolah.

Mengulas mengenai peratus kehadiran murid yang meningkat sewaktu sesi PdPR kali kedua berbanding kali pertama, Mohd Azizee berkata, kajian itu membuktikan penambahbaikan capaian Internet dan pengagihan alat peranti membantu murid untuk hadir ke kelas secara dalam talian, selain kreativiti guru semakin baik dalam ilmu pedagogi virtual.

Katanya, sokongan ibu bapa di rumah juga membantu usaha berkenaan.

Mohd Azizee berkata, pihaknya juga berharap baki 38,960 lagi unit komputer riba yang dijanjikan untuk diedarkan sehingga akhir bulan dapat disegerakan dan sampai kepada sasaran murid yang memerlukan tanpa sebarang ketirisan.

Berita Harian X