Selasa, 21 September 2021 | 10:17am

Bukit Aman lengkapkan dokumentasi bawa pulang Sajat

GOMBAK: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam proses melengkapkan segala dokumen bagi mengekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dari Thailand ke negara ini.

Sajat sebelum ini dikategorikan sebagai orang dikehendaki selepas Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu selepas kes berkenaan disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pada masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Peguam Negara dan Kementerian Luar untuk membolehkan proses membawa pulang Sajad berjalan lancar.

"Ia bagi memberi kuasa kepada pihak PDRM untuk membolehkan Sajat dibawa pulang mengikut saluran undang-undang antarabangsa.

"Berdasarkan maklumat kita terima, Sajat memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand bahawa beliau adalah pelarian selepas memiliki kad Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR)," katanya pada sidang media di Rawang, di sini, hari ini.

Abd Jalil menasihatkan Sajat supaya pulang secara baik supaya pendakwaan kes yang sedang dihadapinya dapat diselesaikan.

Dalam perkembangan berkaitan, JSJ Bukit Aman turut menyiasat mengenai pihak yang membantu Sajat lolos ke Thailand ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Abd Jalil berkata, siasatan dan maklumat itu juga akan diberi kepada pihak berkuasa di sempadan bagi mengelak kejadian melepasi sempadan, berulang.

Sajat kini diarah melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

Polis dalam proses melengkapkan segala dokumen bagi membawa pulang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad dari Thailand.
Polis dalam proses melengkapkan segala dokumen bagi membawa pulang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad dari Thailand.
Berita Harian X