Isnin, 20 September 2021 | 4:45pm
Muhammad Sajjad
Muhammad Sajjad

PDRM mohon ekstradisi Sajat dari Thailand

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat yang ditahan di Thailand, 8 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand.

"Sebab itu, saya tidak boleh beri jangka masa bila Nur Sajat akan dibawa pulang. Saya juga tidak boleh sahkan usahawan kosmetik itu akan dibawa pulang dalam masa terdekat ini.

"Permohonan ekstradisi ada prosesnya. Apabila kita membuat permohonan, pihak berkuasa Thailand juga perlu meluluskannya bagi membolehkan Nur Sajat dibawa pulang," katanya kepada BH, semalam.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, Nur Sajat ditahan Imigresen Thailand pada 8 September lalu kira-kira jam 6 petang kerana memiliki pasport tidak sah.

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Thailand keesokannya atas kesalahan Imigresen dan dikenakan hukuman denda.

"Suspek dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nur Sajat ditahan pihak Imigresen Thailand pada 8 September lalu ketika berlindung di sebuah kondominium mewah di Bangkok.

Menurut laporan itu yang memetik sumber, Nur Sajat ditahan bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita.

Mengikut sumber, semakan pihak Imigresen Thailand mengesahkan Nur Sajat adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

Malah, pasport usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia.

Nur Sajat kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.

Mengikut laporan itu, Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Berita Harian X