Isnin, 20 September 2021 | 4:02pm

42,875 remaja di Pahang terima vaksin mulai hari ini

KUANTAN: Seramai 42,875 remaja berusia 16 tahun dan 17 tahun di Pahang, dijangka lengkap menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 menjelang hujung bulan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Pahang, yang bermula hari ini membabitkan pelajar sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, ia turut membabitkan pelajar dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta institusi swasta, termasuk institusi tahfiz, pondok dan madrasah persendirian.

"Secara keseluruhannya, PICK Remaja di negeri ini membabitkan 173,000 orang remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun.

"Pada program ini, kita memberikan suntikan vaksin kepada 42,875 remaja terlebih dahulu, yang berusia 16 tahun dan 17 tahun di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Di PPV Wisma Belia hari ini, Seramai 1,003 pelajar Tingkatan Empat dan Lima menerima dos pertama, di PPV Wisma Belia, hari ini, membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih, SMK Indera Mahkota 2 dan SMK Bukit Sagu.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, vaksinasi kepada remaja 12 tahun hingga 17 tahun yang mempunyai masalah kesihatan sudah bermula pada 15 September lalu.

Katanya, mereka menerima suntikan di lima hospital di Pahang iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA), di sini, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh; Hospital Pekan, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Bentong.

"Sehingga kini, seramai 183 remaja yang mempunyai masalah kesihatan sudah diberi suntikan berkenaan," katanya.

Foto hiasan.
Foto hiasan.
Berita Harian X