Isnin, 20 September 2021 | 1:32pm
- Foto hiasan / FAIL NSTP
- Foto hiasan / FAIL NSTP

PARLIMEN: Tangani 'positif, negatif palsu' RTK air liur

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka tindakan penyelesaian sewajarnya bagi mengurangkan laporan 'positif palsu' dan 'negatif palsu' menerusi ujian kit saringan pantas (RTK) antigen menggunakan air liur.

Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) ketika menyuarakan gesaan itu berkata, semakin ramai masyarakat memilih untuk melakukan ujian saringan kendiri memandangkan ia senang didapati di rangkaian kedai farmasi di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, sesetengah ujian yang dijalankan mengundang kekeliruan dalam kalangan orang ramai apabila mereka mendapat keputusan positif atau negatif palsu.

"Rabu lalu, ada 12 orang yang ambil ujian air liur di Parlimen mendapat keputusan positif palsu, justeru apa langkah kerajaan untuk menangani isu ini.

"Malah, adakah kerajaan bercadang untuk mengeluarkan garis panduan lengkap supaya rakyat tahu menggunakan kit ujian saringan kendiri ini dengan betul dan tidak panik selepas dapat keputusan," katanya pada sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan dasar terbaharu dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Kiong Yieng berkata segelintir masyarakat mengambil keputusan untuk melakukan ujian antibodi yang ditawarkan penyedia perkhidmatan makmal dan perubatan.

Sehubungan itu, beliau meminta perincian sama ada kerajaan bakal memberikan keutamaan kepada individu yang didapati mempunyai tahap perlindungan antibodi bagi mengekang risiko jangkitan COVID-19 kurang 30 peratus.

"Kerajaan baru umumkan dasar pemberian dos ketiga, justeru ada antara rakyat yang buat ujian antibodi dan didapati tiada langsung pertahanan daripada COVID-19 atau kurang 30 peratus.

"Justeru, adakah mereka ini akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak?

"Persoalan lain turut mencakupi sama ada suntikan dos penggalak juga dilindungi insurans menerusi bantuan khas kesan mudarat vaksin COVID-19 seperti ketika dos pertama dan kedua sebelum ini?" katanya.

Berita Harian X