Isnin, 20 September 2021 | 11:45am

Vaksin dos ketiga gandakan perlindungan golongan rentan

KUALA LUMPUR: Dos ketiga vaksin COVID-19 kepada golongan rentan dan petugas kesihatan, bakal meningkatkan tahap perlindungan sehingga 11 kali ganda kepada kumpulan itu.

Pakar imunologi Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Ahmad Mahfuz Gazali, berkata ia berdasarkan kajian di Israel yang menunjukkan penerima dos penggalak adalah 11 kali ganda kurang risiko dijangkiti COVID-19, berbanding penerima dua dos vaksin.

Selain itu, katanya, penerima dos ketiga vaksin COVID-19 juga adalah 19 kali ganda kurang risiko untuk mendapat jangkitan yang teruk, berbanding penerima dua dos vaksin.

"Data daripada syarikat farmaseutikal seperti Pfizer pula menunjukkan dos ketiga mampu meningkatkan tahap keberkesanan vaksinnya kepada 95 peratus.

"Syarikat Moderna pula memaklumkan pemberian suntikan ketiga akan meningkatkan kepekatan antibodi peneutral virus, sekali gus sukar untuk mendapat jangkitan COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bahawa kerajaan akan melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 selepas liputan imunisasi populasi dewasa seluruh negara melebihi 80 peratus.

Keutamaan pemberian dos ketiga itu adalah kumpulan berisiko tinggi itu iaitu anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Ahmad Mahfuz yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains dan Teknologi Industri UMP itu berkata, golongan berisiko itu memang memerlukan dos ketiga ketika ini.

"Kajian menunjukkan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit kurang daya tahan imun memiliki antibodi peneutral virus yang rendah berbanding individu lain, walaupun selepas menerima dua dos vaksin.

"Antibodi peneutral virus amat penting untuk mencegah jangkitan, sekali gus kita perlu meningkatkanya untuk memberi perlindungan kepada mereka.

"Malah data di United Kingdom (UK) menunjukkan 256 daripada 50,000 kes kematian berlaku dalam kalangan penerima vaksin, dan majoritinya adalah golongan rentan," katanya.

Bagi petugas kesihatan pula, katanya, mereka memerlukan dos ketiga kerana imuniti terhadap COVID-19 yang diperoleh melalui dua suntikan vaksin sejak Mac lalu, sudah menurun.

Katanya, imuniti itu kebiasaannya akan menurun selepas enam bulan dan petugas barisan hadapan kesihatan adalah kumpulan pertama yang menerima vaksin COVID-19 di Malaysia apabila Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.

"Data dari Israel menunjukkan penerima vaksin pada Januari lalu adalah 1.7 kali ganda lebih berisiko dijangkiti berbanding penerima vaksin pada Jun.

"Kajian UK pula mendapati vaksin Pfizer yang memiliki keberkesanan 88 peratus pada bulan pertama, menurun kepada 74 peratus selepas lima hingga enam bulan dan keberkesanan vaksin AstraZeneca pula menurun daripada 77 peratus kepada 67 peratus.

"Bagi vaksin Moderna, jumlah 'breakthrough infection' iaitu penerima vaksin yang dijangkiti, meningkat daripada 0.7 peratus kepada 0.97 peratus dalam kalangan 16,000 individu yang divaksin antara Disember hingga Mac lalu," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Mahfuz berpandangan belum ada keperluan untuk semua orang diberi vaksin penggalak ketika ini dan sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu melihat kepada data 'breakthrough infection' di negara ini.

"Keputusan ini perlu lihat data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai peratus lengkap vaksinasi yang dijangkiti dan meninggal dunia.

"Kita juga perlu tahu, siapakah kumpulan penerima vaksin lengkap yang masih dijangkiti dan meninggal dunia. Adakah sama seperti di UK, di mana majoritinya golongan rentan," katanya.

Berita Harian X