Ahad, 19 September 2021 | 2:39pm
Gambar hiasan - NSTP/DANIAL SAAD
Gambar hiasan - NSTP/DANIAL SAAD

Dos ketiga diberi selepas lebih 80 peratus dewasa divaksin

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19, selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan suntikan dos 'penggalak' itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.

Perdana Menteri berkata, ia meliputi anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dengan komorbiditi, serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

"Suntikan dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

"Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua perincian mengenai pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) dan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ketika ini, beberapa negara termasuk ASEAN sudah mula memberi suntikan dos ketiga vaksin COVID-19, antaranya Singapura, Indonesia dan Thailand, dengan keutamaan kepada golongan berisiko seperti petugas barisan hadapan serta kumpulan rentan.

Berita Harian X