Sabtu, 18 September 2021 | 6:34pm
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melawat Kaunter Bergerak JPJ di Kangkar Baru, Yong Peng dekat sini, hari ini. - NSTP/Essa Abu Yamin
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melawat Kaunter Bergerak JPJ di Kangkar Baru, Yong Peng dekat sini, hari ini. - NSTP/Essa Abu Yamin

MOT gerak pengangkutan awam sokong pelancongan

BATU PAHAT: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedia mengatur pergerakan sektor pengangkutan awam jika lebih banyak destinasi pelancongan dibuka dalam tempoh endemik menjelang hujung bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia dilakukan berdasarkan projek rintis gelembung pelancongan Pulau Langkawi menunjukkan kedua-dua sektor mendapat permintaan tinggi.

"Pada hari pertama, 800 individu memulakan perjalanan menaiki pesawat ke Pulau Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala 720 orang dari klia2.

"MOT akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kangkar Baru, Batu Pahat dekat sini, hari ini

Ka Siong berkata, sektor penerbangan juga sudah bersedia dengan usaha berkenaan seperti membuka kaunter jualan tiket.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ memberi lanjutan tempoh tujuh bulan bagi Lesen Belajar Memandu (LBM).

"Ia bagi memastikan pemilik lesen L tidak tergesa-gesa memperbaharui lesen selepas tamat tempoh.

"Lanjutan masa ini akan membantu mereka yang tidak dapat menjalani ujian memandu disebabkan COVID-19 dan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi," katanya.

Sebelum ini, katanya, lanjutan tempoh sah LBM hanya tiga bulan iaitu sehingga November depan.

Ka Siong berkata, pihaknya banyak menerima maklum balas dan panggilan daripada pemegang LBM mengenai tempoh tamat lesen.

Sehubungan itu, katanya, JPJ bersetuju memberikan lanjutan untuk LBM hingga 30 Jun tahun depan.

Berita Harian X