Sabtu, 18 September 2021 | 4:48pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malaysia nyatakan kebimbangan terhadap AUKUS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melahirkan kegusaran Malaysia terhadap pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, AUKUS bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik dan pada masa sama, memprovokasi kuasa lain bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Kenyataan itu menyebut, semua pihak perlu mengelak provokasi dan persaingan senjata di rantau ini, dan menyedari kepentingan menghormati serta mematuhi pendirian serta sekatan sedia ada.

"Sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

"Perdana Menteri Australia, Scott Morrison memaklumkan dan memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.

"Antara tujuan penubuhannya adalah untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

"Perdana Menteri mengambil maklum perkara terbabit dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penubuhan AUKUS ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Ismail Sabri menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara.

"Ia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ)," katanya.

Kenyataan itu berkata, Ismail Sabri dan Morrison turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa khususnya di rantau Indo-Pasifik.

"Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang pertahanan menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif," katanya.

Berita Harian X