Khamis, 16 September 2021 | 11:52am
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Malaysia hasilkan vaksin taun, diuji akhir tahun

PETALING JAYA: Pembangunan vaksin pertama oleh Malaysia, bagi penyakit kolera atau taun akan memasuki fasa ujian klinikal menjelang penghujung tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata, proses pembangunan vaksin untuk penyakit bawaan makanan dan air berkenaan diterajui bersama sebuah universiti swasta dan awam.

Jelasnya, fasa ujian klinikal dari peringkat pertama hingga ketiga itu bakal membabitkan sampel manusia dan dijangka berupaya memacu daya saing Malaysia dalam industri farmaseutikal.

"Kita bertuah kerana Malaysia mempunyai kerangka dan persetujuan untuk membangunkan vaksin, tetapi pengeluaran bukan sahaja bagi COVID-19, sebaliknya turut meliputi penyakit lain.

"Untuk vaksin kolera (taun), sebuah universiti swasta iaitu Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan melaksanakan ujian klinikal pada penghujung tahun ini.

"Fasa ujian klinikal ini bakal merangkumi fasa satu, dua dan tiga," katanya pada sidang media sempena prapelancaran penyelidikan dan pembangunan Area 57, Taman Teknologi Malaysia (TPM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Azmad Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar.

Dr Adham berkata, Malaysia ketika ini giat merintis usaha pembangunan vaksin bagi penyakit leptospirosis atau kencing tikus, selain polio dan denggi.

Katanya, proses pengeluaran vaksin untuk kegunaan awam mengambil masa kerana tidak boleh dilaksanakan menerusi jalan singkat, malah memerlukan kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

"Kelulusan hanya diberikan sekiranya vaksin dihasilkan mengikut tiga dasar utama iaitu keberkesanan, selamat dan berkualiti, namun pembangunan akan dibuat dalam tempoh ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, penubuhan pusat kecemerlangan 'Area 57' di TPM berkeluasan dua hektar amat bersesuaian untuk menjadi pemangkin teknologi dan penggunaan dron di Malaysia.

Beliau menaruh keyakinan teknologi dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) mempunyai banyak potensi komersial yang berupaya diterokai, sekali gus bakal memacu sektor tenaga kerja berkemahiran tinggi dan menjana peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

"Saya mengambil contoh Aerodyne Group yang menjalankan sesi demonstrasi sebentar tadi dan syarikat dron dari Malaysia ini mendapat sambutan global, malah diberi penarafan kedudukan kedua dalam dunia.

"Aerodyne akan berperanan sebagai penasihat kepada Area 57, justeru saya ingin melihat lebih banyak syarikat seperti ini dan mengalu-alukan syarikat dron bersama dengan TPM di Area 57 dalam memacu pertumbuhan industri teknologi dron Malaysia," katanya.

Berita Harian X