Rabu, 15 September 2021 | 10:57am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KDN bantu pelajar asing baharui visa

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersikap terbuka untuk membantu pelajar asing di Malaysia untuk memperbaharui visa masing-masing bagi meneruskan pengajian di sini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata mereka boleh terus berhubung dengan Jabatan Imigresen bagi urusan memperbaharui visa berkenaan.

Katanya, KDN sentiasa bersikap terbuka dan akan memberikan khidmat nasihat berkaitan urusan berkenaan.

"Kita tidak akan bertindak kejam dan keterlaluan tapi kita akan berikan khidmat nasihat yang sewajarnya bagi membolehkan kerjasama antara negara dan negara luar, yang mahu menjadikan Malaysia antara hab pendidikan yang terkenal," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (BEBAS-Simpang Renggam) yang bertanya mengenai kedudukan pelajar asing yang sudah tamat visa kerana beliau menerima banyak aduan pelajar berkenaan diarah untuk keluar dari negara dan kembali semula bagi memperbaharui visa mereka.

Maszlee berkata peraturan itu boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

Berita Harian X