Selasa, 14 September 2021 | 7:59pm
 Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang
Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang

'Kekalkan NTF untuk kekang PATI'

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) perlu dikekalkan meskipun selepas pandemik COVID-19 berakhir kerana pasukan itu sudah membuktikan keupayaannya mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang, berkata NTF bukan saja berjaya menyelaraskan operasi mencegah kemasukan PATI, malah pada masa sama berjaya menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan yang lain.

Beliau berkata, misi penubuhan NTF adalah untuk memperkukuh kawalan sempadan negara daripada pencerobohan kemasukan PATI dan ia diterjemahkan melalui pelaksanaan Operasi Benteng.

"Selepas setahun lebih penubuhannya, ATM bersama agensi penguat kuasa lain yang bergabung di bawah NTF berjaya mencapai objektif dipertanggungjawabkan.

"Operasi ini berjaya dicapai dengan jayanya dengan kerjasama dan perancangan teliti hasil kolaborasi bersama semua agensi penguat kuasa terbabit secara langsung dalam operasi ini," katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira ATM, di sini, baru-baru ini.

Sambutan Hari ATM ke-88 bakal diadakan secara fizikal di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 September ini, tanpa kehadiran penonton.

Affendi berkata, maklum balas diterima daripada semua agensi penguat kuasa adalah positif dalam menyahut inisiatif kerajaan itu kerana NTF dapat menyatukan semua agensi dalam menggembleng usaha dan tenaga bagi mencapai misi diamanahkan.

"Konsep 'Whole of Government Approach' memang mendatangkan keberkesanan berbanding bekerja secara 'silo' yang dipraktikkan sebelum ini.

"Kerjasama ini perlu diteruskan kerana ia memberi impak positif dalam membendung wabak COVID-19 dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan daripada terus berlaku di sempadan tanah air," katanya.

Mengenai aspek penambahbaikan strategi pertahanan dan kesiagaan digerakkan NTF, Affendi berkata, NTF sentiasa berusaha menambah baik strategi pertahanan dan keselamatan sedia ada dalam memastikan ia sentiasa relevan serta diselaraskan sesuai amanah dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata, dalam usaha menambah baik strategi itu, NTF membangunkan Pelan Strategik Benteng berasaskan dasar kerajaan seperti Dasar Keselamatan Negara, Kertas Putih Pertahanan serta Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam bagi memastikan kesinambungan kejayaan serta kelancaran pelaksanaan Operasi Benteng.

Pada masa sama, Affendi berkata, kerjasama erat sedia terjalin dengan agensi penguatkuasaan negara jiran terus diperkukuh seperti aspek perkongsian maklumat perisikan dan rondaan bersama di sempadan menerusi platform sedia ada.

"Memang ada cabaran dihadapi NTF dalam usaha membanteras kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan kerana modus operandi mereka sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan semasa.

"Jadi, NTF perlu sentiasa peka dan mencari kaedah baharu mengatasi permasalahan ini," katanya.

Beliau berkata, penugasan kawalan sempadan negara turut diperkemaskan menerusi peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan dengan perolehan aset seperti bot jenis 'Rigid Hull Inflated,' kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), motosikal scrambler serta dron.

"Perolehan aset itu memberi pulangan tinggi dengan peningkatan statistik kes tangkapan menerusi Operasi Benteng," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X