Isnin, 13 September 2021 | 9:52pm
Op Benteng dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan, termasuk PDRM terbukti berjaya mengawal aktiviti pencerobohan PATI di sempadan negara secara menyeluruh. - Foto NSTP
Op Benteng dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan, termasuk PDRM terbukti berjaya mengawal aktiviti pencerobohan PATI di sempadan negara secara menyeluruh. - Foto NSTP

ATM harap Op Benteng diteruskan

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap Op Benteng yang ditubuhkan untuk menangani penularan COVID-19 akan diteruskan walaupun jangkitan itu dapat dikawal sepenuhnya pada masa akan datang.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata operasi diketuai ATM dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbukti berjaya mengawal aktiviti pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan negara secara menyeluruh.

"Operasi ini dijalankan secara bersepadu dan atas sebab itu kita dapat mengawal lebih banyak kawasan sempadan maritim dan darat.

"Dengan pelaksanaannya, ia akan memperkasakan pemantauan sempadan dalam mengesan pencerobohan dalam kalangan PATI serta aktiviti penyeludupan," katanya pada wawancara khas media sempena Hari ATM Ke-88 di Wisma Perwira, hari ini.

Affendi berkata, seramai 15,782 PATI ditahan, manakala 2,248 lagi diusir menerusi Op Benteng di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) sejak Mei tahun lalu hingga kelmarin.

Katanya, seramai 1,149 tekong dan 788 penyeludup turut ditangkap, manakala 2,402 kenderaan darat dan 540 kapal serta bot dirampas dalam operasi bagi tempoh sama.

"Alhamdulillah, selepas setahun lebih penubuhan operasi ini ATM bersama agensi berkaitan mencapai objektif dipertanggungjawabkan.

"Pendekatan 'whole of government' (keseluruhan kerajaan) terbukti mendatangkan keberkesanan, berbanding bekerja secara 'silo' (tanpa bantuan agensi keselamatan lain) yang dibuat sebelum ini," katanya.

Affendi berkata, ATM setakat ini mengerahkan seramai 10,934 anggotanya ke lapangan bagi menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan COVID-19 dan mengawal kawalan sempadan menerusi Op Benteng serta Op Penawar.

"Komitmen ATM dalam menangani wabak COVID-19 bermula tahun lalu dan ia tidak terhad kepada bantuan anggota saja, sebaliknya membabitkan aset seperti kenderaan pengangkut dan pesawat udara.

"Sehingga kini, ATM sentiasa bersedia membantu semua pihak berwajib secara serius seperti pembabitan tentera dalam atur gerak Hospital Medan serta penubuhan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley yang dilihat berkesan dalam menguruskan keperluan tangani wabak berkenaan," katanya.

Berita Harian X