Isnin, 13 September 2021 | 8:39pm
Ibu bapa menghantar anak mereka menaiki bot penambang pada awal pagi untuk ke sekolah yang terletak di pusat bandar Labuan. - Foto BERNAMA
Ibu bapa menghantar anak mereka menaiki bot penambang pada awal pagi untuk ke sekolah yang terletak di pusat bandar Labuan. - Foto BERNAMA

Bukan semua sekolah dibuka pada 3 Oktober

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menegaskan pembelajaran bersemuka mulai 3 Oktober ini, dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya menerima banyak maklum balas dan pertanyaan kononnya sekolah di seluruh negara akan dibuka serentak pada tarikh berkenaan.

"Saya memantau maklum balas susulan pengumuman berkaitan pembukaan semula sekolah yang dibuat semalam. Kami mendapati ada yang masih menganggap seolah-olah semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Oktober ini.

"Jadi, saya ingin sekali lagi menjelaskan secara umum bahawa pembukaan sekolah dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam PPN," katanya.

Radzi berkata, pembukaan secara berperingkat itu bagi memastikan pelajar dapat hadir ke sekolah dan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan selamat.

Katanya, kehadiran pelajar juga akan mengguna-pakai kaedah penggiliran secara mingguan dengan kapasiti sebanyak 50 peratus di dalam kelas.

"Kalau negeri itu dalam Fasa 1 (PPN), tidak ada sekolah yang akan dibuka di negeri Fasa 1. Negeri Fasa 2 (PPN) pula, bagi sekolah rendah, hanya murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang akan hadir ke sekolah.

"Bagi sekolah menengah, dalam Fasa 2 (PPN), yang akan ke sekolah pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua kerana mereka akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober," katanya.

Bagi negeri Fasa 3, selain SKPK dan PPKI, murid prasekolah akan dibenarkan hadir ke sekolah, manakala untuk sekolah menengah pula, ia membabitkan pelajar Tingkatan 5 dan calon STPM yang lain.

"Fasa 4 (PPN), bagi dua minggu pertama daripada 3 hingga 17 Oktober, yang akan berada di sekolah seperti Ffasa 3. Kemudian dari 17 hingga 31 Oktober, kita akan tambah untuk sekolah rendah, iaitu murid dari Tahun 1, 2 dan 3. Ini bermula daripada 17 Oktober.

"Kemudian pada akhir Oktober, murid Tahun 4, 5 dan 6 akan masuk untuk sekolah rendah di negeri Fasa 4 (PPN). Sekolah menengah negeri Fasa 4, kita akan masukkan untuk dua minggu pertama bermula 3 hingga 17 Oktober yang akan masuk sama dengan pelajar Fasa 3.

"Selepas 17 Oktober, pelajar yang akan hadir ke sekolah dari Tingkatan 3 dan 4. Dua minggu selepas itu bermula 31 Oktober, pelajar Tingkatan 1 dan 2 pula akan hadir ke sekolah. Begitulah keadaannya," katanya.

Berita Harian X