Ahad, 12 September 2021 | 3:32pm

Penggiliran murid hadir sekolah secara mingguan - Radzi

PUTRAJAYA: Pembukaan semula sesi persekolahan tahun ini yang akan dilanjutkan sehingga Februari tahun depan, akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan, bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.

Katanya, langkah itu juga bagi pengawalan murid dan guru akan memastikan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Dengan penggiliran itu, murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus," katanya dalam sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Radzi berkata, enam kategori pelajar dikecualikan daripada penggiliran dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Murid yang dikecualikan itu adalah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK)/Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional(SMPKV)/Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas(SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Turut disenarai pelajar Tingkatan Enam Semester 2 dan The International Baccalaureate®️ Diploma (IBD) Tahun 2, murid sekolah asrama sepenuhnya, pelajar peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah, tadika swasta dan pusat perkembangan minda (4-6 tahun).

Sekolah kurang murid iaitu di bawah 150 orang juga dikecualikan penggiliran.

Radzi berkata, sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Februari tahun depan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan semua pelajar, khususnya yang ketinggalan, bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.

Beliau berkata, lanjutan itu bermakna semua pelajar akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan, sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula Mac 2022.

Katanya, bagi sesi persekolahan secara bersemuka akan kekal dilaksanakan mulai 3 Oktober hingga Mac tahun depan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dilakukan secara penggiliran.

Beliau turut menjelaskan semua sekolah di negeri fasa satu, iaitu Kedah dan Johor akan kekal ditutup buat masa ini, sekali gus semua pelajar di dua negeri berkenaan akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi negeri di Fasa Dua PPN, semua institusi pendidikan ditutup dan dilaksanakan sesi PdPR tetapi hanya kelas peperiksaan boleh kembali ke sekolah.

"Bagi Fasa Tiga, semua institusi pendidikan dibuka secara berperingkat tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan dan penilaian risiko manakala Fasa Empat PPN, semua institusi pendidikan dibuka sepenuhnya tertakluk kepada penilaian risiko semasa, " katanya.

Bagi sekolah yang termasuk dalam Program Gelembung Pelancongan seperti Langkawi semua sekolah akan dibuka mengikut fasa empat PPN walaupun Kedah kini berada di Fasa Satu.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media pengoperasian sekolah, hari ini. - Foto ihsan RTM
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media pengoperasian sekolah, hari ini. - Foto ihsan RTM
Berita Harian X