Jumaat, 10 September 2021 | 7:26pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

PKPD lima lokaliti di Pahang, Sabah Ahad ini

KUALA LUMPUR: Empat lokaliti di Pahang dan satu lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai Ahad ini hingga 25 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata pelaksanaan PKPD di Pahang meliputi dua perkampungan Orang Asli di Kuala Krau, Termerloh iaitu Kampung Pasu dan Kampung Penderas.

"PKPD juga akan dilaksanakan di Pos Sinderut, Mukim Ulu Jelai, Lipis dan FELDA Keratong 5, Rompin.

"Sementara itu, satu lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD ialah Kampung Kopungit di Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, keputusan melaksanakan PKPD itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di lima lokaliti terbabit.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) di semua lokaliti yang dikenakan PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Rodzi berkata, kerajaan hari ini juga bersetuju menamatkan PKPD tiga lokaliti di Pasir Mas, Kelantan iaitu Kampung Bayu Lalang dan sebahagian Kampung Banggol Kemian, kedua-duanya di Mukim Pasir Mas serta sebahagian Kampung Repek di Mukim Gual Periok.

"Selain itu, PKPD dua lokaliti di Sabah turut ditamatkan iaitu Kampung Debut di Ranau dan Kampung Tindai Kolopis di Penampang.

"PKPD semua lokaliti itu yang diberkuatkuasa sejak 29 Ogos lalu akan ditamatkan mulai tengah malam ini," katanya.

Berita Harian X