Jumaat, 10 September 2021 | 3:15pm
Antara Januari hingga Julai tahun ini, 638 kes bunuh diri dilaporkan, berbanding 262 kes tempoh sama pada 2020. - Foto hiasan
Antara Januari hingga Julai tahun ini, 638 kes bunuh diri dilaporkan, berbanding 262 kes tempoh sama pada 2020. - Foto hiasan

Dapatkan sokongan jika ada masalah mental

KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak sepatutnya malu mendapatkan sokongan sekiranya mengesyaki diri mengalami masalah kesihatan mental.

Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH), Senator Datuk Ras Adiba Radzi, berkata orang ramai juga perlu menghapuskan persepsi sekiranya mereka mendapat bantuan psikologi akan dicap sebagai orang tidak siuman.

"Tidak semestinya kita tak nampak, ia tidak ada. Adakalanya seseorang memerlukan bantuan dan adakala mereka memberi amaran tetapi kita tidak dapat melihatnya.

"Penting untuk kita semua bersama-sama, saling menjaga antara satu sama lain, memerhati dan menyedari akan petunjuk dan perkara kecil. Kita semua manusia. Ada hari yang kita perlukan sokongan dan sedikit galakan," katanya ketika berucap dalam 'Hope Symposium 2021' anjuran Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) hari ini.

Bertemakan 'Thriving in Mental Health with Meaning and Compassion', simposium yang berlangsung secara maya sejak semalam itu bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai isu kesihatan mental, bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Turut menyertai simposium itu Penaung MIASA dan selebriti Che Puan Sarimah Ibrahim, pengasas MIASA, Anita Abu Bakar dan penyanyi yang juga pengasas kepada Qalby App, Mizz Nina.

Tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia tahun ini ialah 'Bertindak Segera, Harapan Terbina' bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat, bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020, iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

– BERNAMA

Berita Harian X