Jumaat, 10 September 2021 | 12:53pm
Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP
Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP

Isu kesihatan mental petugas kesihatan dibawa ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Isu kesihatan mental petugas kesihatan yang berdepan tekanan dan gangguan emosi kesan perang melawan COVID-19 sejak lebih setahun lalu, perlu menjadi perkara utama dalam sidang Parlimen minggu depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan kerajaan perlu mengambil kira tahap emosi dan kesihatan mental petugas barisan hadapan kesihatan dalam merangka pendekatan memerangi COVID-19.

Katanya, luahan dan pengorbanan petugas kesihatan yang mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang bertugas memerangi wabak itu, wajar mendapat pembelaan dan perhatian.

"Saya melihat keperluan untuk mempunyai pendekatan memerangi COVID-19 tidak hanya dalam strategi mengawal penularan, tapi harus termasuk tahap emosi dan kesihatan mental para petugas kesihatan. Ini harus diambil kira oleh Menteri Kesihatan yang baharu.

"Kerajaan mesti memberi fokus aspek pengurusan, persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan dengan lebih berkesan.

"Justeru, isu kesihatan mental petugas kesihatan ini perlu menjadi perkara utama yang akan disentuh kelak sewaktu sidang Parlimen minggu depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, BH melaporkan lebih 70,000 petugas kesihatan dikesan mengalami pelbagai gangguan emosi seperti stres, kemurungan dan kecelaruan, selain kelesuan melampau selepas berdepan COVID-19 sejak Januari tahun lalu.

Ada kakitangan kesihatan yang ditemu bual BH, mengaku menangis setiap hari selama sebulan apabila pulang ke rumah, stres, berasa tidak berguna kerana tidak dapat menyelamatkan pesakit, selain kemanusiaan diri tercabar apabila terpaksa memilih pesakit yang perlu 'dilepaskan' setiap hari.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) pula mendedahkan ada petugas kesihatan yang terdesak akibat gangguan emosi disebabkan pandemik COVID-19, mengambil dadah dan pil tidur bagi mengurangkan tekanan, selain mereka berisiko berdepan gangguan stres pasca trauma (PTSD), yang boleh membawa kepada hasrat bunuh diri.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan untuk memberi cuti tambahan kepada petugas kesihatan dalam menangani tekanan terhadap mereka ketika membendung wabak COVID-19.

Selain cuti tambahan itu, katanya, KKM juga akan menggerakkan unit psikologi untuk melaksanakan sesi kaunseling kepada mereka yang tertekan.

Berita Harian X