Jumaat, 10 September 2021 | 12:33pm
Keadaan aliran trafik di Lebuhraya Persekutuan lancar selepas kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara bermula hari ini. - NSTP/Fathil Asri
Keadaan aliran trafik di Lebuhraya Persekutuan lancar selepas kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara bermula hari ini. - NSTP/Fathil Asri

Penduduk KL, Selangor, Putrajaya mulai rentas daerah hari ini

KUALA LUMPUR: Penduduk di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang sudah lengkap divaksinasi, dibenarkan rentas daerah, mulai hari ini, berikutan peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka dibenarkan berbuat demikian dan perlu mengemukakan kad atau sijil digital vaksinasi COVID-19 dan kad pengenalan atau pasport sebagai bukti.

Malah, individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap terbabit juga dibenarkan membawa bersama anak berusia 17 tahun dan ke bawah, dengan mematuhi protokol kesihatan umum.

Bagi pasangan suami isteri jarak jauh, mereka dibenarkan untuk merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing dengan syarat kedua-duanya lengkap divaksinasi, dengan pengesahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka mesti mengemukakan salinan kad pengenalan suami dan isteri, salinan sijil/ kad pernikahan, salinan Kad atau Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 suami dan isteri, salinan dokumen bukti tempat tinggal suami/ isteri atau surat pengesahan majikan dan menunjukkan surat kebenaran yang diluluskan PDRM apabila melalui Sekatan Jalan Raya (SJR).

Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri berlainan juga dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak masing-masing, dengan syarat kedua-dua ibu bapa atau penjaga lengkap divaksin dengan pengesahan PDRM.

SekatanJalan Raya (SJR) ditamatkan di Gerbang Darul Ehsan berikutan peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua PPN, mulai hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
SekatanJalan Raya (SJR) ditamatkan di Gerbang Darul Ehsan berikutan peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua PPN, mulai hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Mereka hendaklah mengemukakan salinan kad pengenalan ibu, bapa dan sijil / dokumen kelahiran anak, salinan Kad atau Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 ibu dan bapa atau penjaga, maklumat persekolahan anak (jika berkaitan) dan menunjukkan surat kebenaran yang diluluskan PDRM apabila melalui SJR.

SOP turut menetapkan aktiviti solat di masjid dan surau bagi individu yang sudah lengkap divaksin dibenarkan tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri. Aktiviti sembahyang di Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) bagi individu yang sudah lengkap divaksinasi juga dibenarkan, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Pengusaha restoran, termasuk di hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan dan kiosk, dibenarkan menyediakan perkhidmatan dine-in dengan mematuhi beberapa syarat.

Antaranya, menerima pelanggan yang sudah lengkap divaksinasi dan tidak bergejala, mesti memaparkan notis penerimaan pelanggan yang sudah lengkap divaksin dan tidak bergejala sahaja di pintu masuk premis dan hanya pekerja yang sudah menerima vaksin lengkap dan tidak bergejala dibenarkan bekerja.

Aktiviti dine-in dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus setiap meja dan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter tertakluk kepada SOP Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) PPN Fasa 2.

Rakyat dibenarkan merentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan. - Foto hiasan
Rakyat dibenarkan merentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan. - Foto hiasan

Individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap juga dibenarkan membawa anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis berkenaan.

Mereka yang lengkap divaksinasi juga boleh menjalani aktiviti sukan dan rekreasi secara individu atau berkumpulan di kawasan tertutup dan membawa bersama anak berusia 17 tahun dan ke bawah.

Sementara itu, aktiviti pelancongan dibenarkan untuk mereka yang lengkap divaksinasi, dalam negeri yang sama sahaja membabitkan hotel dan inap desa.

Mereka perlu mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 ketika mendaftar masuk ke penginapaan terbabit.

Berita Harian X