Khamis, 9 September 2021 | 3:28pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Lebih 15,000 PATI ditahan sejak Mei 2020

KUALA LUMPUR: Seramai 15,754 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Ops Benteng) di bawah 'National Task Force' bagi tempoh Mei 2020 hingga Selasa lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bagi tempoh sama, seramai 2,232 PATI diusir dalam operasi membabitkan 19 agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Selain PATI, seramai 1,148 orang tekong dan 781 penyeludup turut ditangkap dalam tempoh sama.

"Dari sudut rampasan pula, saya dimaklumkan sebanyak 2,381 kenderaan darat dan 540 kapal serta bot berjaya dirampas," katanya dalam catatan di Facebook rasminya, hari ini.

Hishammuddin berkata, selari dengan matlamat utama pelaksanaan Ops Benteng, ATM akan terus berusaha dan bekerjasama dengan semua agensi terbabit, bagi mengawal ketat sempadan negara daripada kemasukan PATI, selain mengekang penularan wabak COVID-19 yang mungkin dibawa golongan terbabit. – BERNAMA

Berita Harian X