Rabu, 8 September 2021 | 2:26pm
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto fail BERNAMA

SOP kemasukan pelajar IPT akan dimuktamad minggu ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dijangka akan memuktamadkan kerangka pelan merangkumi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada minggu ini.

Ia sebagai persediaan susulan pembukaan semula IPT untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula bulan depan, seperti diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, baru-baru ini.

Jurucakap KPT berkata, kerangka itu sudah ada tetapi pihaknya kini sedang giat menjalankan proses libat urus dengan pihak berkaitan.

"Kerangka pelan itu sudah ada dan KPT sedang membuat engagement (libat urus) dengan pihak-pihak berkepentingan untuk kita muktamadkan segera pelan itu," katanya kepada BH hari ini.

Menerusi kenyataan pada 3 September lalu, Noraini berkata, rancangan itu adalah melalui Pelan Pemulihan IPT (PEMULIH IPT)dan langkah itu selari dengan usaha membolehkan pelajar pulang ke IPT apabila kesemuannya lengkap divaksin seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas pada 22 Ogos lalu.

Berdasarkan laporan media pada 5 September lalu, pengurusan universiti awam (UA) pula sedang giat melakukan persiapan menjelang pembukaan semula sesi pengajian secara bersemuka pada Oktober ini, yang berkemungkinan dibuat secara berperingkat.

Antara persiapan ialah mendapatkan maklumat status vaksinasi pelajar dan memastikan mereka divaksin sebelum memulakan kuliah di kampus.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan, berkata kemungkinan kemasukan pelajar dibuat secara berperingkat iaitu membabitkan mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi dan pelajar yang belum menerima vaksin.

Mohd Fo'ad berkata, bagi pelajar lengkap vaksinasi, mereka akan terus mendaftar di kolej kediaman masing-masing manakala yang belum menerima vaksin tetapi tergolong dalam kelompok berkeperluan khas perlu menjalani isolasi di dua lokasi kolej kediaman yang ditetapkan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Aldrin Abdullah, berkata bagi pembelajaran bersemuka Oktober ini, pelajar tidak akan masuk ke kampung secara serentak.

Beliau berkata, ia hanya membabitkan mereka yang dilihat berkeperluan akan memulakan pengajian terlebih dahulu seperti lengkap divaksin dengan kapasiti mengikut garis panduan ditetapkan KPT.

Berita Harian X