Ahad, 5 September 2021 | 2:51pm
Semua 463 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual menerima air bersih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi. - Foto hiasan
Semua 463 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual menerima air bersih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi. - Foto hiasan

Gangguan air di 463 kawasan pulih

KUALA LUMPUR: Semua 463 kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang sebelum ini terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual, menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi.

Gangguan bekalan air itu berpunca daripada henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA) Sungai Semenyih, berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama baik sepanjang tempoh berlakunya gangguan berkenaan.

"Pengguna disarankan mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi medium komunikasi rasmi air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

"Sebarang pertanyaan atau membuat aduan boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor," katanya.

Selasa lalu, sebanyak 463 kawasan di lima daerah Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Gangguan bekalan air itu membabaitkan 172 kawasan di Petaling manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Berita Harian X