Ahad, 5 September 2021 | 8:59am
Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, esok. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, esok. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Bekalan air pulih di 92 peratus kawasan

KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih susulan insiden pencemaran bau yang berlaku di sungai itu sudah mencapai 92.2 peratus, setakat jam 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kadar pemulihan di Kuala Langat, Putrajaya dan Sepang sudah mencapai 100 peratus.

Bagaimanapun, katanya peratusan pemulihan di Hulu Langat dan Petaling, masing-masing baru mencapai 92.6 peratus dan 81.4 peratus.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, esok," katanya.

Selasa lalu, sebanyak 463 kawasan di lima daerah Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pencemaran itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Elina berkata, pengguna yang sudah mendapat bekalan air disarankan untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor berharap pengguna yang sudah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

"Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300," katanya.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Berita Harian X