Ahad, 5 September 2021 | 8:47am
Sebanyak 33 rumah penduduk Kampung Kopungit, di sini, dikenal pasti tidak selamat, berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku, semalam. -Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Sebanyak 33 rumah penduduk Kampung Kopungit, di sini, dikenal pasti tidak selamat, berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku, semalam. -Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

33 rumah di Kampung Kopungit terjejas tanah runtuh

KOTA KINABALU: Sebanyak 33 rumah penduduk Kampung Kopungit, di sini, dikenal pasti terjejas atau berada dalam keadaan tidak selamat, berikutan tanah runtuh yang meranapkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dalam hantaran di laman Facebook beliau malam tadi, berkata penduduk terbabit sudah diarah supaya berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan cuaca hujan berterusan ketika ini.

Katanya, agensi keselamatan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membantu proses pemindahan penduduk ke kawasan yang lebih selamat dengan kadar segera, selain terus memantau situasi semasa di lokasi terbabit.

"Mayor DBKK (Datuk Bandar Kota Kinabalu) melaporkan setakat ini sebanyak 33 rumah terjejas akibat tanah runtuh ini.

"Penduduk setempat disarankan sentiasa mematuhi nasihat agensi keselamatan termasuk arahan berpindah sekiranya penilaian risiko mendapati kawasan bahaya untuk diduduki dalam keadaan hujan berterusan.

"Penduduk yang berpindah juga diminta melaporkan kedudukan masing-masing di Balai Bergerak Polis Diraja Malaysia (DBKK) berdekatan lokasi kejadian. Pusat pemindahan sementara juga sudah disediakan kepada penduduk kampung yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata, semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan sedang mengambil tindakan susulan dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan keselamatan penduduk serta kawasan sekitar.

Hajiji berkata, kerja membaik pulih bekalan air yang terganggu di Kampung Kopungit, khususnya yang berdekatan kawasan kejadian tanah runtuh juga sedang dilaksanakan.

"Salah satu tangki utama di kampung itu terpaksa dikosongkan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk daripada berlaku kerana ia terletak di kawasan tanah runtuh," katanya.

Selain tanah runtuh di kampung terbabit, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap kejadian sama yang menjejaskan keselamatan di Kompleks C, Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan beberapa kawasan sekitar.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 11 pagi semalam, selain stor ubat-ubatan KKM, empat kenderaan termasuk sebuah motosikal milik kakitangan KKM turut dilaporkan musnah, namun tiada laporan kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Sementara itu, tanah runtuh di Kompleks C QEH dilaporkan berlaku petang kelmarin berikutan hujan lebat yang menyebabkan tanah di kawasan berbukit berkenaan menjadi lembut sebelum runtuh.

Semalam, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga Exco Kesihatan negeri, Ir Shahelmey Yahya turut meninjau lokasi tanah runtuh di hospital berkenaan dan mengarahkan semua agensi berkaitan untuk mengambil langkah perlu bagi menangani situasi berkenaan agar tidak melarat.

Berita Harian X