Sabtu, 4 September 2021 | 6:19pm
Orang awam mengambil air dari lori tangki air yang disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan oleh henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ketika tinjauan di Perumahan Penjawat Awam, Presint 18, Putrajaya, hari ini. - Foto AZHAR RAMLI
Orang awam mengambil air dari lori tangki air yang disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan oleh henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ketika tinjauan di Perumahan Penjawat Awam, Presint 18, Putrajaya, hari ini. - Foto AZHAR RAMLI

Pencemaran Sungai Semenyih: Beberapa individu akan ditahan

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menahan beberapa individu bagi merungkai punca kejadian pencemaran bau di Sungai Semenyih sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang, baru-baru ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata efluen atau sisa buangan cecair di sungai itu turut diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

"Susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, JAS juga mengesan dan mengukur parameter serta kualiti udara di sebuah kilang yang disyaki melepaskan efluen ke saliran awam," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Terdahulu, gangguan bekalan air di 463 kawasan berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, dihenti tugas sementara akibat insiden pencemaran bau dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi Isnin ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dipetik berkata, LRA Sungai Semenyih sudah mula beroperasi.

Bekalan air bagi kawasan terjejas akan mula disalurkan secara berperingkat mulai 6 petang hari ini, manakala sebanyak 94 lori tangki air sudah digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Henti tugas itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Berita Harian X