Sabtu, 4 September 2021 | 1:30pm
Dr Radzi (dua kiri) diiringi Guru Besar SK Haji Nyak Gam, Mohd Rosli Hassan (empat kiri) meninjau keadaan sekolah yang terjejas berikutan kejadian kepala air Gunung Jerai, di Yan, hari ini. - Foto NSTP/ LUQMAN HAKIM ZUBIR
Dr Radzi (dua kiri) diiringi Guru Besar SK Haji Nyak Gam, Mohd Rosli Hassan (empat kiri) meninjau keadaan sekolah yang terjejas berikutan kejadian kepala air Gunung Jerai, di Yan, hari ini. - Foto NSTP/ LUQMAN HAKIM ZUBIR

Pelan kecemasan jika wabak menular di sekolah

YAN: Kementerian Pendidikan menyediakan pelan kecemasan jika berlaku penularan wabak COVID-19 di sekolah, selepas pembelajaran bersemuka dimulakan bulan depan.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pelan itu membabitkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dirangka bersama-sama pakar Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, sekolah juga tidak akan dibuka secara serentak mulai 3 Oktober, sebaliknya secara berperingkat-peringkat.

Katanya, pegawai Kementerian Pendidikan juga dalam proses mendapat pandangan pihak berkepentingan di seluruh negara dan memberi taklimat kepada guru serta pentadbir sekolah.

"Kita sedang mengadakan sesi libat urus. Apabila selesai, kita akan duduk balik dengan Kementerian Kesihatan berdasarkan pandangan dan input yang kita terima. Daripada situ, kita umumkan apa kaedahnya.

"Sekolah tidak akan dibuka serentak. Ia dibuka secara berperingkat atau fasa yang kita aturkan.

"Kita akan menjelaskan satu persatu. Ini satu pelan yang komprehensif, termasuk SOP baharu akan dilaksana.

"Kita juga ada pelan alternatif, sekiranya berlaku penularan COVID-19 di sekolah. Ia akan dijelaskan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat kerja baik-pulih ke Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak , Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Berita Harian X