Sabtu, 4 September 2021 | 11:17am
Dr Radzi melawat empat sekolah di Yan pagi ini. - Foto facebook
Dr Radzi melawat empat sekolah di Yan pagi ini. - Foto facebook

Kementerian baik pulih sekolah di Yan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyediakan dana RM2.4 juta bagi tujuan pembaikan empat sekolah yang terjejas teruk, akibat bencana kepala air di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Nyak Gam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) York Khoon.

"Saya telah melawat dan meneliti keadaan empat sekolah yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah Yan pada 18 Ogos lepas. Setelah diberikan penerangan oleh pihak berwajib, saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi tujuan pembaikan sekolah-sekolah terbabit.

"Antara kerosakan yang dikenal pasti dan perlu diperbaiki atau diganti dengan segera ialah pagar, tandas, bilik darjah, kerusi dan meja murid, perabot serta peralatan sekolah," katanya di media sosial, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Kedah akan segera membaik pulih kerosakan dan membuat penggantian aset yang terjejas, kesan daripada bencana alam itu.

"Penyaluran peruntukan akan dibuat secara berperingkat kepada jabatan dengan memberi keutamaan kepada sekolah menengah yang akan dibuka untuk sesi pembelajaran secara bersemuka dalam masa terdekat," katanya.

Kementerian Pendidikan menyalurkan dana secara berperingkat bagi menggantikan kerosakan sekolah di Yan. - Foto facebook
Kementerian Pendidikan menyalurkan dana secara berperingkat bagi menggantikan kerosakan sekolah di Yan. - Foto facebook

Berita Harian X