Jumaat, 3 September 2021 | 8:27pm
 Sebanyak 463 kawasan di Lembah Klang sekali lagi akan berhadapan gangguan bekalan air berikutan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih. - Foto hiasan BERNAMA
Sebanyak 463 kawasan di Lembah Klang sekali lagi akan berhadapan gangguan bekalan air berikutan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih. - Foto hiasan BERNAMA

463 kawasan terjejas Sungai Semenyih tercemar

KUALA LUMPUR: Lima daerah di Selangor sekali lagi berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual dalam tempoh tiga hari sejak masalah sama berlaku Selasa lalu.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan menjelaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada jam 5:15 petang tadi.

Tindakan itu terpaksa diambil pihak pengurusan LRA berkenaan berikutan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

"Henti tugas ini dijangka menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, Selasa lalu dilaporkan berkata 463 kawasan di lima daerah sama mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pencemaran dikesan pada jam 11.10 pagi itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Berita Harian X