Jumaat, 3 September 2021 | 3:56pm
Anggota BBP Guar Chempedak melakukan pemantauan di Sungai Kampung Baru, Gurun yang mengalir dari Gunung Jerai. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Anggota BBP Guar Chempedak melakukan pemantauan di Sungai Kampung Baru, Gurun yang mengalir dari Gunung Jerai. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Bomba pantau kawasan risiko banjir empat jam sekali

YAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir termasuk di sekitar Titi Hayun dan kaki Gunung Jerai serta Gurun setiap empat jam sekali jika hujan lebat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata setakat ini anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak akan membuat pemantauan berdasarkan keadaan cuaca.

Mohamadul Ehsan turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mengunjungi lokasi berisiko kepala air di negeri ini.

Pihaknya sudah mengenal pasti 18 lokasi berlaku kepala air termasuk Titi Hayun, Seri Perigi, Gunung Jerai, kawasan air terjun di Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Mek Sungai Petani, Air Terjun Batu Hampar di Yan, Air Terjun Temurun, Jalan Datai di Langkawi, Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi.

Selain itu, Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang, Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi, Sungai Kuala Sedim di Kulim, Air Terjun Ulu Paip di Kulim, Air Terjun Bukit Hijau di Baling, Air Terjun Lata Bayu di Baling, Air Terjun Lata Mengkuang di Sik, Perangin di Sik, Tasik Beris di Sik, Sungai Kulim, Lata Celak Iboi di Baling.

Dua lagi lokasi tumpuan ramai iaitu di, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang.

Mohamadul Ehsan berkata, semua lokasi itu tidak selamat dikunjungi ketika perubahan cuaca termasuk hujan lebat.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mengetahui tanda akan berlakunya kepala air termasuklah bunyi deruan kuat di puncak bukit atau gunung selain air tiba-tiba bertukar keruh mendadak yang disertai ranting kayu dan daun berselerak mengikut aliran air.

Berita Harian X