Jumaat, 3 September 2021 | 12:03pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kaunter JPJ 'walk-in' untuk individu lengkap vaksinasi, bermula 6 September

PUTRAJAYA: Operasi semua kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan rakan strategiknya termasuk PUSPAKOM, akan berjalan dengan kapasiti 100 peratus secara 'walk-in' untuk individu lengkap imunisasi COVID-19, bermula 6 September ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia bagi memastikan orang ramai dapat berurusan dengan jabatan itu secara lancar.

Beliau berkata, jika ada keperluan tertentu, kaunter terbabit akan turut beroperasi pada cuti hujung minggu, termasuk di negeri yang cuti itu jatuh pada Jumaat.

"Pelanggan ingin berurusan di kaunter JPJ, mestilah lengkap vaksinasi sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi kepentingan kesihatan dan keselamatan orang ramai, termasuk kakitangan bertugas.

"Pada masa sama, pelawat juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera masing-masing.

"Kita memerlukan ini bagi memastikan orang yang datang berurusan itu adalah betul-betul sihat. Kita tidak mahu menyusahkan orang tetapi kerana ia membabitkan pelanggan yang akan beratur, maka perkara ini perlu diberikan perhatian khusus," katanya pada sidang media, hari ini.

Selain itu, Ka Siong memaklumkan bermula 6 September ini, JPJ juga akan menghentikan sistem janji temu di semua kaunternya.

Katanya, pelanjutan tempoh untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu yang tamat tempoh sah, hingga 31 Disember depan, adalah mencukupi untuk individu masih belum divaksin atau imunisasi lengkap, selain boleh berurusan secara dalam talian seperti sedia ada.

Ditanya mengenai waktu urusan di kaunter pula, beliau menjelaskan berikutan ia membabitkan penggunaan wang tunai, pihaknya akan membuat penyelarasan dengan bank bagi membolehkan operasi kembali seperti biasa.

"Kita akan mengerahkan 100 peratus jumlah anggota JPJ untuk bertugas seperti sediakala," katanya.

Bagi mencegah risiko penularan COVID-19, Ka Siong menasihati orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan di kaunter, supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Pematuhan terhadap SOP adalah penting bukan saja bagi menjaga keselamatan serta kesihatan orang ramai yang hadir tetapi juga dalam kalangan kakitangan JPJ sebagai petugas barisan hadapan.

"Hingga kini, seramai 395 pegawai dan anggota JPJ disahkan positif COVID-19 dengan dua daripadanya meninggal dunia akibat virus itu," katanya.

Ka Siong berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 32 juta kenderaan berdaftar di negara ini meliputi lebih 20 juta kenderaan aktif, serta 15.8 juta lesen memandu direkodkan.

Berita Harian X