Khamis, 2 September 2021 | 5:41pm
Mashitah Azman dan suami, Abdul Naim Mohd bersama anaknya, Saif Arman Abdul Naim memerlukan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan jantung berlubang di Hospital Sunway Medical Centre. NSTP/AZIAH AZMEE
Mashitah Azman dan suami, Abdul Naim Mohd bersama anaknya, Saif Arman Abdul Naim memerlukan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan jantung berlubang di Hospital Sunway Medical Centre. NSTP/AZIAH AZMEE

Bayi berusia sebulan hidap jantung berlubang mohon bantuan

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia sebulan, memerlukan sumbangan RM50,000 bagi menampung kos pembedahan dan rawatan jantung berlubang di Pusat Perubatan Sunway.

Saif Arman Abdul Naim dikesan menghidap masalah jantung berlubang jenis Verticular Septal Defect (VSD) dan saluran jantung sempit, selepas mengalami kesukaran bernafas.

Ibunya, Mashitah Azman, 29, dari Dungun, Terengganu berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah ketika melahirkan anak sulungnya itu pada 18 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, dua minggu kemudian dia mendapati dada anaknya seperti berombak selain bernafas dengan agak laju.

"Saya kemudian bertanya kepada kakak yang juga seorang jururawat dan dia meminta saya segera membawa anak ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan.

"Doktor kemudian meminta saya merujuk kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan sepanjang perjalanan ke hospital dengan ambulans ketika itu, anak saya diberikan alat bantuan pernafasan.

"Pemeriksaan dan beberapa ujian yang dijalankan di HSNZ mengesahkan anak saya menghidap jantung berlubang serta saluran jantung sempit," katanya.

Suri rumah itu berkata, pada mulanya dia agak terkejut apabila dimaklumkan jantung anaknya bermasalah kerana melihat keadaan anaknya normal seperti bayi lain.

Katanya, dia dan suami Abdul Naim Mohammad, 29, yang bekerja sebagai penyelia keselamatan turut dimaklumkan kos perubatan anaknya adalah sebanyak RM50,000.

Mashitah berkata, sebagai seorang ibu, dia amat sedih melihat keadaan anaknya yang masih kecil namun sehingga kini, masih perlu memakai alat bantuan pernafasan bagi mengurangkan beban pada jantungnya.

Dia yang kali terakhir berpeluang memegang bayinya pada minggu lalu, berkata ketika ini keadaan anaknya agak stabil walaupun perlu minum susu menggunakan tiub.

"Bagaimanpun saya dan suami amat berharap orang ramai sudi menghulurkan bantuan kepada anak kami supaya dia dapat menjalani pembedahan segera.

"Kami amat berharap dia dapat pulih dan sihat kembali," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek ke tabung sama pula, tulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Berita Harian X