Khamis, 2 September 2021 | 4:20pm

Yan beransur pulih

YAN: Kerja-kerja pembaikan kira-kira 200 rumah yang terjejas teruk akibat bencana kepala air dan banjir lumpur Gunung Jerai bulan lalu, sedang giat dilakukan pelbagai agensi kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail, berkata pihaknya bekerjasama bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KPLB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi membantu penduduk terbabit.

Jelasnya, secara keseluruhan terdapat lebih 1,000 rumah penduduk mengalami pelbagai kerosakan dan kerja pembaikan dilakukan secara berperingkat mengikut kategori kerosakan.

"Kita mendapat sedikit keistimewaan apabila proses baik pulih dapat dilakukan segera oleh pasukan GiatMARA dan kontraktor dilantik, dengan kita jangka semua kerja terbabit boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan.

"Kerosakan dialami penduduk kebanyakannya membabitkan bahagian pintu hadapan dan belakang selain dinding rumah yang terkena hentaman kepala air dengan struktur lain masih dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui hari ini.

Ku Rahman berkata, bagi infrastruktur yang mengalami kerosakan teruk termasuk titi roboh, ia dijangka mengambil sedikit masa kerana membabitkan beberapa peringkat proses berlainan.

"Secara keseluruhan keadaan di Yan beransur pulih, kebanyakan rumah mangsa juga sudah dibersihkan selain kemudahan awam juga sudah banyak dipulihkan pihak Majlis Daerah Yan (MDY).

"Kegiatan perniagaan di pekan Yan juga hampir pulih apabila kebanyakan kedai kembali beroperasi seperti biasa, cuma kegiatan pelancongan di Titi Hayun dan Batu Hampar masih belum dapat dimulakan kembali," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan berikutan kegiatan pelancongan di kawasan terbabit adalah antara tarikan utama ke daerah ini.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, bencana kepala air dan banjir lumpur melanda Yan, Gurun dan Merbok menyebabkan banyak kerosakan selain menjejaskan kawasan perkampungan terutamanya di Kampung Setol, Kampung Acheh dan Kampung Permatang Keramat.

Bagi peniaga, Hock Lean Seng, 67, kebimbangan bencana kepala air berulang masih ada, namun berharap ia tidak akan menyebabkan banjir lumpur yang teruk seperti yang berlaku baru-baru ini.

"Saya baharu seminggu kembali membuka kedai runcit dan masih meneruskan kerja pembersihan di dalam kedai termasuk bagi menggantikan rak yang rosak akibat terkena air lumpur.

"Pelanggan juga tidak ramai dan saya bergantung kepada penduduk tempatan membeli barang berbanding sebelum ini apabila ramai orang luar yang datang berkhemah di Gunung Jerai turut berbelanja di sini," katanya.

Sementara itu, nasib yang menimpa penduduk turut mendapat perhatian pengusaha Stesen Petrol Petron Wilayah Utara yang menyumbang bantuan tong gas, dapur, makanan kering dan pakaian bernilai keseluruhan RM21,000.

Sumbangan disampaikan wakil pengusaha, Haruni Md Hassan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Yan bagi diagih kepada penduduk yang memerlukan.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memeriksa sebahagian barangan sumbangan untuk mangsa banjir di Pusat Kawalan Operasi Bencana Yan. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memeriksa sebahagian barangan sumbangan untuk mangsa banjir di Pusat Kawalan Operasi Bencana Yan. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X